KETEGASAN DAN KEYAKINAN DIRI SERLAH BAKAT KEPIMPINAN BADRUL GAPAI KEJAYAAN
USM PULAU PINANG, 10 Februari 2022 – Berasal dari Kuala Kedah, Kedah dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Leftenan Muda Muhammad Badrul Amin Abd Halim, 25, telah dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan di Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat Universiti Awam ke-39 (Zon Utara) yang berlangsung di USM pada 7 Februari 2022 lalu.
Sebelum menjejak kaki ke USM, anak kepada seorang nelayan dan suri rumah ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bebar dan kemudian melanjutkan pengajian menengahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Nenasi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad sehingga tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Agak menarik, apabila beliau mampu membahagikan masa untuk belajar dan terlibat dengan aktiviti kokurikulum serta menunjukkan kesungguhan dan keazaman yang tinggi dalam fasa latihan ketenteraan, modul akademik dan jasmani ketika menyertai PALAPES.
Beliau juga aktif dalam sukan dan merupakan ketua pasukan Woodball USM. Antara kenangan manisnya adalah ketika bergelar johan di Kejohanan Woodball IPT 2019.
Ketegasan dan keyakinan diri Badrul telah menyerlahkan sifat kepimpinannya dan telah dilantik sebagai Pegawai Rendah Kanan.
Berbekal kesungguhan, keazaman dan tekad yang dipamerkan sepanjang latihan juga telah membolehkannya dianugerahkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan.
Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM baru-baru ini berkesempatan menemubual Muhammad Badrul Amin bagi mendapatkan sedikit perkongsian mengenai kejayaan beliau dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan PALAPES USM.
Berikut merupakan hasil sesi soal jawab dari temubual melalui emel bersama beliau untuk dikongsikan bersama warga kampus:
S: Bagi pihak USM, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Leftenan Muda Muhammad Badrul kerana telah dinobatkan sebagai Pegawai Terbaik Keseluruhan PALAPES. Sudah pasti terlalu banyak pengalaman manis dan pahit yang dilalui sepanjang menjalani latihan. Bagi memulakan sesi temubual, apakah perasaan anda apabila dinobatkan sebagai Pegawai Terbaik Keseluruhan PALAPES?
J: Pertama sekali, saya berasa amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinnya, saya dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan. Saya berasa amat gembira dan pada masa yang sama berharap pencapaian yang saya gapai ini sedikit sebanyak memberikan semangat buat para pegawai kadet yang masih menjalani latihan untuk terus berusaha dan tidak berputus asa.
S: Apakah matlamat/perancangan anda yang seterusnya setelah menyertai latihan PALAPES?
J: Setelah menjalani latihan PALAPES selama tiga tahun, saya berazam untuk meneruskan perkhidmatan saya dalam Rejimen Askar Wataniah sebagai Pegawai Muda di samping jawatan hakiki. Saya berharap dapat menyumbangkan bakti kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pada masa yang sama, saya juga berharap dapat membantu meringankan beban keluarga yang selama ini telah banyak menyokong saya sepanjang pengajian saya.
S: Apakah yang mendorong anda untuk menyertai latihan PALAPES?
J: Terdapat pelbagai faktor yang menarik minat saya untuk menyertai latihan PALAPES. Antaranya ialah imej yang dipaparkan oleh ATM. Saya amat tertarik dengan semangat juang dan disiplin diri yang ditonjolkan oleh setiap anggota. Selain itu, penyertaan saya dalam PALAPES tidak memerlukan saya untuk membelanjakan wang dalam menyediakan kelengkapan seperti uniform. Ini kerana, pihak ATM menyediakan semua kelengkapan dan peralatan. Tambahan pula, elaun latihan dan makanan juga disediakan untuk semua pegawai kadet. Keistimewaan lain juga diberikan dalam PALAPES seperti penginapan sepanjang tempoh pengajian.
S: Bagaimanakah anda membahagi masa antara latihan dan akademik?
J: Saya akui agak mencabar bagi saya untuk membahagikan masa antara latihan dan akademik. Lebih-lebih lagi apabila saya diberikan tanggungjawab besar sebagai Pegawai Rendah Kanan, mengetuai hampir 200 pegawai kadet. Bagi saya, setiap individu perlu tahu membezakan urusan mengikut keutamaan/prioriti dan kesegeraan. Jadi, saya tidak akan menangguh tugasan dan arahan yang diberikan. Budaya kerja yang diterapkan dalam PALAPES juga membantu saya menguruskan masa dengan betul.
S: Beri tiga kemahiran yang anda perolehi sepanjang penglibatan anda dalam PALAPES, dan bagaimana setiap satunya dapat membantu anda lebih berjaya di alam pekerjaan kelak?
J: Antara tiga kemahiran utama yang saya perolehi daripada penglibatan dalam PALAPES ialah kepimpinan, kemahiran menyelesaikan masalah dan kerja secara berpasukan. Bagi saya, kemahiran kepimpinan merupakan salah satu ciri penting yang perlu ada dalam diri seseorang kerana ia melatih diri untuk menjadi lebih bertanggungjawab dalam menggalas tugas.
Manakala, kemahiran menyelesaikan masalah pula amat penting kerana setiap pekerjaan pastinya mempunyai masalahnya yang tersendiri dan memerlukan kita untuk membuat keputusan yang tepat dengan segera agar masalah tersebut dapat diselesaikan.
Akhir sekali, kemahiran kerja berpasukan membantu saya untuk menyesuaikan diri dengan rakan sekerja agar tugasan yang diberikan dapat disempurnakan bersama-sama dengan baik.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 623