USM TUAN RUMAH MAJLIS PENTAULIAHAN 182 PEGAWAI KADET PALAPES DARAT UA ZON UTARA
USM PULAU PINANG, 7 Februari 2022 – Seramai 182 pelajar PALAPES Universiti Awam (UA) (Zon Utara) telah ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dengan pangkat Leftenan Muda di Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat Universiti Awam ke-39, yang berlangsung di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan.
Majlis ini melibatkan pemakaian pangkat kepada 60 orang Pegawai Kadet PALAPES USM, 31 orang Pegawai Kadet PALAPES Universiti Utara Malaysia (UUM), 31 orang Pegawai Kadet PALAPES Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), 41 dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Malaysia (UPSI), 3 dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, 2 dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan 14 dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Lafaz pengisytiharan pentauliahan pegawai kadet PALAPES darat dan acara pemakaian pangkat disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Dato’ Pahlawan Mohammad Abdul Rahman.
Berucap dalam majlis tersebut, Mohammad berkata beliau yakin, dengan berbekalkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang 3 tahun dalam latihan PALAPES, kesemua Pegawai Kadet dapat menempuh setiap cabaran yang dihadapi dalam kerjaya kelak.
Harapan beliau agar kesemua kemahiran yang telah dipelajari dapat digilap dan ditambah baik dari semasa ke semasa agar ianya sejajar dengan perkembangan kerjaya nanti.
“Sebagai rakyat Malaysia, anda perlu mempunyai rasa kekitaan atau ‘sense of belonging’ agar semangat patriotik dan cintakan negara terus kekal tersemat kukuh di dalam jiwa.
“Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menyemai nilai-nilai murni serta memupuk daya kepimpinan sebagaimana pemimpin Islam terdahulu, agar menjadi ‘role model’ bukan sahaja kepada anggota bawahan, malahan kepada masyarakat yang lain,” tambah beliau.
Sementara itu, pada kata aluan Naib Canselor merangkap Komandan PALAPES USM, Kolonel (Kehormat) Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan di dalam buku program, beliau mengucapkan syabas kepada Lembaga Penasihat PALAPES (LPP), Formasi Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat dan barisan kepimpinan PALAPES USM serta Jawatankuasa Induk Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES UA Ke-39 (Zon Utara) atas usaha gigih yang dipamerkan dalam merealisasikan majlis sebesar itu.
Faisal Rafiq juga berharap agar semangat dan perjuangan Pegawai-Pegawai Muda tidak akan pudar dan terkubur walaupun selepas ditauliahkan kerana segala pengalaman dan ilmu pengetahuan yang diperoleh dapat dimanfaatkan dengan baik dan mereka adalah harapan negara dan bakal mengambil alih pucuk kepimpinan di masa hadapan.
Pada majlis tersebut, Leftenan Muda Muhammad Badrul Amin Abdul Halim dianugerahkan sebagai Pegawai Kadet PALAPES Terbaik USM.
Turut serta di majlis tersebut adalah Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Nazari Abd Hadi; Naib Canselor merangkap Timbalan Komandan PALAPES UNIMAP, Leftenan Kolonel Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli; Pemangku Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Brigedier Jeneral Padman a/l K.P Bhaskaran; Naib Canselor merangkap Komandan PALAPES UUM, Kolonel Kehormat Profesor Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani; Timbalan-timbalan Naib Canselor USM, pegawai-pegawai kehormat PALAPES dan pegawai-pegawai USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 884