PPSF DAN KKM ANJUR PERSIDANGAN PENGGUNAAN UBAT-UBATAN SECARA BERKUALITI
PULAU PINANG, Julai 2013 - Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Persatuan Farmasi Malaysia telah menganjurkan persidangan kebangsaan pertama berkaitan ‘Penggunaan Ubat-Ubatan Secara Berkualiti’ bertempat di Summit Hotel, Subang Jaya baru-baru ini.
Persidangan kali ini dipengerusikan bersama oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Profesor Dr. Munavvar Zubaid Sattar dan Pengarah Amalan Farmasi dari Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Salmah Bahri.
Menurut Profesor Madya Dr. Mohamed Azmi Ahmad Hassali, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan) PPSF yang merangkap pengerusi saintifik persidangan yang julung kali diadakan di rantau Asia ini, objektif utama persidangan ini ialah untuk berkongsi hasil penyelidikan dan dasar-dasar berkaitan dengan penggunaan ubat-ubatan yang berkualiti dalam kalangan semua pihak yang berkepentingan di Malaysia.
“Selain itu, persidangan ini juga diharapkan dapat menyediakan satu forum bagi membina kerjasama dan rangkaian yang lebih erat dalam kalangan pihak berkepentingan dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan kualiti ubat-ubatan dalam masyarakat ke arah mencapai matlamat Dasar Ubat Nasional,” kata Mohamed Azmi.
Persidangan kali ini, yang bertemakan ‘Memupuk Penggunaan Ubat Berkualiti dalam Kalangan Masyarakat’, dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan disertai oleh lebih 400 peserta dari seluruh negara.
Seramai 6 pensyarah PPSF telah dijemput sebagai penceramah pada persidangan ini, mereka ialah Profesor Madya Dr. Mohamed Azmi Hassali, Profesor Dr. Zhari Ismail, Profesor Madya Dr. Azmi Sariff, Dr. Balamurugan Tangiisuran dan Dr. Chong Chee Ping.
Dalam persidangan yang sama, seramai 15 orang pelajar siswazah PPSF dari bidang farmasi sosial telah bersama-sama turut serta berkongsi hasil penyelidikan mereka.
PPSF juga amat berbangga kerana hasil kajian dua orang pelajar sarjana dari Disiplin Farmasi Sosial dan Pentadbiran di bawah seliaan Profesor Madya Dr. Mohamed Azmi Hassali dan Prof. Madya Dr. Asrul Akmal Shafie, telah berjaya merangkul pertandingan poster terbaik pada persidangan kali ini.
“Poster-poster hasil kajian Lim Wen Yei dan Lee Shi Wei mendapat markah tertinggi daripada panel juri hakim, dan ini adalah satu lagi pencapaian yang cukup membanggakan USM,” tambah Mohamed Azmi.
Pada persidangan tersebut juga, pihak KKM telah melancarkan hasil kajiselidik bersama Disiplin Farmasi Sosial dan Pentadbiran, PPSF berkaitan dengan corak pengunaan ubat-ubatan dalam kalangan pengguna Malaysia.
Kajian ini yang diketuai oleh Mohamed Azmi sendiri bagi pihak USM merupakan kajian penting dalam pembangunan polisi berkaitan aktiviti penggunaan ubat-ubatan secara berkualiti di Malaysia. -- Teks & Foto: Sumbangan PPSF
- Created on .
- Hits: 2306