USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT JPA, BINCANG ASPEK MODUL PROGAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN DITERAPKAN
USM PULAU PINANG, 5 Februari 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan hormat Bahagian Pembangunan Modul Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), baru-baru ini.
Kunjungan hormat yang diketuai Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Dr. Zainal Abidin Sait itu adalah bagi melihat modul program pembangunan modal insan yang diterapkan USM.
Pada pertemuan tersebut, USM diwakili Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Narimah Samat.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan turut bersama-sama menyertai sesi pembentangan dan perbincangan yang dijalankan kemudiannya menerusi WEBEX.
Narimah membentangkan modul-modul serta program yang dijalankan USM bagi menerapkan pelbagai aspek jati diri melalui pembangunan modal insan terhadap staf universiti ini.
Zainal Abidin ketika berucap berkata, kehadirannya bersama staf bahagian pembangunan modal insan JPA itu adalah untuk melihat sendiri program-program yang sudah dijalankan USM.
Selain itu katanya, pihaknya juga ingin melihat segala perancangan USM terhadap modul-modul program yang akan datang, bertujuan untuk memantapkan modal insan dalam kalangan staf.
“Selepas melihat kesemua program yang dijalankan termasuk yang akan dijalankan, pihak kami akan menimbangkan di peringkat atasan untuk memberikan biasiswa tajaan kepada USM.
“Pertemuan ini juga sedikit sebanyak membolehkan JPA dan USM bertukar-tukar pandangan sekaligus memantapkan kemahiran staf masing-masing dengan program yang membawa manfaat,” katanya.
Hadir sama pada pertemuan itu adalah Pendaftar USM, Dr. Musa Hj Ali dan Timbalan Pengarah (Kluster Pembangunan Strategik Dalam Perkhidmatan) JPA, Dr. Arwan Sabri.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 527