SESI SINDIKASI RMU EPU, USM TINGKAT PEMAHAMAN STAF CAPAI SASARAN RMK-12
USM PULAU PINANG, 2 Februari 2022 – Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU), Bahagian Industri Pembuatan, Sains dan Teknologi, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri mengadakan sesi sindikasi dengan Universiti Sains Malaysia (USM) pada 24 Januari lalu.
Sesi yang diadakan di Dewan Persidangan Universiti (DPU) itu dihadiri Pengarah RMU, Dato’ V Valluvan Veloo; Timbalan Pengarah RMU, Dr. Ramli Nordin dan Ketua Penolong Pengarah (Industri) RMU, Mohd Sallehhuddin Zainal Abidin.
USM diwakili Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato' Dr. Narimah Samat, dan disertai ketua-ketua jabatan berkaitan.
Menurut Valluvan, RMU memang sudah merangka sesi sindikasi bersama semua institusi pengajian tinggi (IPT) kerana ia penting bagi memastikan hasrat kerajaan tercapai.
“Hasrat kerajaan adalah untuk meningkatkan peratusan Perbelanjaan Dalam Negara Kasar bagi Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) kepada (Keluaran Dalam Negara Kasar) KDNK tercapai dalam tempoh RMK-12 (Rancangan Malaysia Ke-12).
“Di samping itu, kerajaan juga menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 50% penyelidikan akan tertumpu kepada pembangunan eksperimental yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan,” katanya.
Sesi sindikasi itu turut disertai Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan secara maya.
Sementara itu, Valluvan berkata, sesi sindikasi ini diharap akan dapat memperkukuh dan meningkatkan pemahaman kakitangan akademik terhadap hasrat kerajaan berdasarkan RMK-12.
Katanya, RMK-12 bermatlamat untuk meningkatkan pengkomersialan serta menambah baik kadar pemindahan output R&D dari makmal ke pasaran.
RMU di bawah EPU, Jabatan Perdana Menteri telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa pembentangan RMK-12 untuk merancang, menyelaras dan mengharmonikan aktiviti R&D&C&I negara.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 638