NAIB CANSELOR DAN PENGURUSAN TERTINGGI USM UCAP SELAMAT TAHUN BARU CINA
USM PULAU PINANG, 1 Februari 2022 – Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh warga USM, para alumni, rakan taulan dan pemegang taruh yang dekat dengan Universiti Sains Malaysia (USM).
"Selamat Tahun Baru Cina kepada semua dari saya dan seluruh pengurusan tertinggi USM dalam semangat kekeluargaan, kebersamaan dan perpaduan yang erat dengan saling memahami dan meraikan kepelbagaian yang ada dengan penuh hormat, harmoni dan sejahtera," kata Faisal Rafiq.
Tambahnya, dalam era pandemik yang membataskan sedikit sebanyak aktiviti sosial, gunakanlah cara melalui dalam talian untuk berhubung antara satu sama lain serta patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan pihak berkuasa.
"Kita amat bertuah berada dalam negara yang aman makmur dan mempunyai pelbagai kaum, agama dan pelbagai budaya yang begitu istimewa dan hidup bersama dengan saling memahami, dan saya menyeru agar kita semua berdoa dan terus beroleh kebahagiaan dan kegembiraan," katanya lagi.
Naib Canselor juga meminta agar semua yang akan bercuti pada minggu perayaan ini untuk sentiasa berhati-hati di jalanraya dan memastikan keselamatan sentiasa terpelihara.
Tahun Baharu Cina menandakan permulaan tahun baharu menurut kalender lunar tradisi Cina, dan tahun ini perayaan Tahun Baru Cina disambut dalam tahun Harimau iaitu zodiak ketiga dalam kitaran 12 haiwan zodiak Cina.
Mengikut kepercayaan masyarakat Tionghua (Cina), mereka yang dilahirkan pada tahun Harimau ini akan memiliki sifat-sifat berikut – berdikari, berani, yakin, dinamik, gigih, bertenaga, cerdas, sanggup berkorban, setia, mudah disayangi, baik hati, idealistik, dan serba boleh.
Selamat Tahun Baru Cina! GONG XI FA CAI!
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Infografik: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 771