USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KPT, USM BEKERJASAMA JALANKAN PROGRAM OUTREACH 2022 DI BALIK PULAU

BALIK PULAU, PULAU PINANG, 24 Januari 2022 – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Majlis Penghuni Desasiswa Aman Damai telah menganjurkan Program Outreach Balik Pulau 2022 baru-baru ini.

8C5C227C F59D 4187 99C6 6AEB073744F5

Program Outreach tersebut yang berlangsung dari 21 hingga 22 Januari 2022 di Kompleks Sukan Balik Pulau melibatkan 22 agensi kerajaan, serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) yang diselangi beberapa aktiviti lain yang menarik.

Berucap dalam majlis perasmian sekaligus merasmikan program tersebut, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, USM bersyukur dapat turut menyumbang tenaga untuk menganjurkan program ini, yang mana USM sentiasa komited dan membuka pintu menjalankan kerjasama dengan semua pihak yang ingin berkolaborasi demi kebaikan masyarakat dan negara.

“Saya yakin program ini boleh menjadi titik tolak dan mampu memperkasakan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 yang menggariskan empat strategi utama untuk mencapai matlamat membantu institusi pengajian tinggi melahirkan graduan kalis masa depan (future-proof graduates), holistik dan seimbang, yang mana strategi berkenaan adalah pengukuhan kecemerlangan bakat; peluasan kerjaya pelajar; pemantapan pengajaran dan pembelajaran (PdP); dan pemerkasaan hubungan industri,” jelas Faisal Rafiq.

16FA3D54 0CC5 4213 A5AC F42040C6F3B7

Harapan beliau ialah agar program yang penuh dengan pelbagai aktiviti dan pengisian di ruang-ruang pameran pendidikan itu mampu memberi impak yang besar dalam memberi semangat kepada para pelajar untuk terus melanjutkan pelajaran hingga ke menara ilmu.

Faisal Rafiq juga menandatangani plak sebagai simbolik untuk menyempurnakan perasmian program tersebut.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA@UPU, Wahi Nordin berkata, program ini dilaksanakan dengan tujuan untuk mempromosi dan menyebar luas peluang pendidikan tinggi ke IPTA dan IPTS serta Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dalam kalangan pelajar dan masyarakat di kawasan Balik Pulau.

Wahi juga memberi penerangan kepada masyarakat di kawasan Balik Pulau mengenai proses dan cara memohon kemasukan ke universiti, yang mana program tersebut juga menjadi platform utama pihak KPT menyampaikan maklumat kepada pemohon dan masyarakat awam mengenai pelaksanaan permohonan ke IPTA dan ILKA yang berkaitan dengan UPU Online.

Sementara itu, wakil KPT, Tuan Haji Mazlan Haniff merangkap Ketua Penerangan UMNO Bahagian Balik Pulau, dalam ucapan aluannya berkata, Program Outreach ini merupakan suatu keperluan bagi pelajar yang bersedia untuk ke menara gading dan juga salah satu inisiatif kerajaan untuk beramah mesra dengan masyarakat setempat.

“Saya berharap agar masyarakat Balik Pulau tahu tentang program ini dan memperolehi pengetahuan serta maklumat lanjut mengenai proses kemasukan ke institusi pengajian tinggi secara ‘first-hand’,” tambah Mazlan.

53FA2B9A 23D5 4007 93FD 486BF0010CE3

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Narimah Samat yang turut hadir, telah dibawa oleh pihak penganjur untuk melawat setiap ruang/booth pameran pendidikan.

Turut hadir sama di majlis perasmian adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Pendaftar USM, Dr. Musa Ali; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad; Pengurus Besar, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman; Pengarah Projek Outreach Balik Pulau 2022, Khairunraihani Mohd Samuddin; Pengarah-Pengarah IPTA; pegawai-pegawai utama universiti dan pegawai-pegawai utama agensi kerajaan yang terlibat.

Turut disajikan sepanjang program dua hari itu adalah pelbagai aktiviti yang mencuri tumpuan mereka yang hadir seperti pameran pendidikan dan khidmat taklimat daripada agensi kerajaan yang terlibat, sesi senam seni oleh Dewan Budaya USM, cabutan bertuah dan pelbagai aktiviti lain.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 709

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024