USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ASAS MAMPU LAHIR BINTANG SUKAN NEGARA DI PERINGKAT ANTARABANGSA

USM PULAU PINANG, 20 Januari 2022 – ‘Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya’.

Maksud peribahasa ini mungkin menjadi salah satu faktor penubuhan Akademi Sukan Anak Staf (ASAS) Universiti Sains Malaysia (USM) bagi melahirkan jagoan sukan di negara ini.

ASAS yang diwujudkan bermula tahun lalu itu adalah bertujuan mengasah bakat sukan yang dimiliki anak-anak staf USM yang berusia 12 tahun ke bawah.

Kolaborasi antara Jabatan Pendaftar dengan Pusat Sukan dan Rekreasi USM itu juga diyakini akan menjadi mekanisme mengeratkan hubungan kekeluargaan antara anak-anak staf.

Pegawai Tadbir Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Nasrullah Mohamed Farouk berkata, ASAS mendapat sambutan yang menggalakkan apabila berjaya mengumpulkan anak-anak staf dalam kategori umur di bawah 12 tahun dalam tempoh yang singkat.

Katanya, kesemua anak-anak staf yang berminat menyertai ASAS dalam beberapa sukan yang ditawarkan tidak akan dikenakan sebarang yuran latihan.

“Beberapa sukan disediakan sebagai permulaan iaitu bola sepak, hoki, olahraga serta sepak takraw.

“Alhamdulillah, jumlah penyertaan yang diterima ketika ini sangat memberangsangkan biarpun berada di dalam keadaan wabak pandemik ini (COVID-19) dan pihak kami bersedia menerima penambahan peserta,” katanya.

Tambah Nasrullah, pasukan bola sepak ASAS yang disertai seramai 52 pemain dan sudah mula menjalani latihan, bakal diuji dalam perlawanan persahabatan dengan Penang Whitecaps di Stadium USM, pada Ahad ini jam 8.30 pagi.

Katanya, pasukan bola sepak ASAS mampu menghasilkan pemain-pemain berkualiti dengan mendapat sentuhan barisan kejurulatihan diketuai ketua jurulatih yang juga bekas pemain Perak, Pulau Pinang dan USM FC, Ahmad Norafandy Yatim atau lebih dikenali sebagai Jibong.

Menurutnya, Jibong akan dibantu bekas jurulatih USM FC 2018 iaitu Zairy Md Noor dan bekas pemain skuad belia Pulau Pinang, Mohamad Danial Shahri, yang kini bertugas di PTPM USM.      

Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli & Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop

  • Created on .
  • Hits: 563

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024