PENSYARAH USM ANTARA 3% CALON TERPILIH MENERIMA GERAN ANUGERAH SUPERB 2021
NIBONG TEBAL, PULAU PINANG, 18 Januari 2022 – Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Norilmi Amilia Ismail baru-baru ini terpilih sebagai salah seorang pemenang dalam Pertandingan Anugerah Keusahawanan Startup SUPERB 2021 anjuran TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera).
Norilmi bersama-sama syarikat spinoff USM, SpaceIn Sdn. Bhd. telah memenangi geran untuk fasa pra-pengkomersialan iaitu geran pembangunan perniagaan bernilai RM100,000, yang mana beliau merupakan dalam kalangan 3 peratus atau 23 pemenang dalam pertandingan yang mendapat lebih kurang 800 penyertaan dari seluruh negara, serta menjadi penerima tunggal geran ini dari USM.
Pertandingan yang berasaskan ‘business pitching’ ini hanya membenarkan dua peserta sahaja mewakili setiap penyertaan dan selain Norilmi sebagai pembentang utama, Hafez Murtza, seorang pengarah SpaceIn berperanan sebagai pembentang kedua.
Dalam sesi temubual melalui Whatsapp, Norilmi berkata, tajuk projek beliau ialah Pocketqube Satellite for IoT Application (Satelit Pocketqube untuk Aplikasi IoT) yang bertujuan untuk menyediakan platform satelit bagi menghubungkan peranti IoT di kawasan pendalaman yang tiada kemudahan internet.
“Platform satelit yang disediakan adalah lebih murah berbanding dengan perkhidmatan satelit sedia ada disebabkan penggunaan satelit yang lebih kecil dan orbit yang lebih rendah dapat mengurangkan kos pelancaran dan pembinaan satelit.
“Kami mensasarkan pelanggan yang terdiri daripada syarikat yang menyediakan perkhidmatan IoT supaya mereka dapat meluaskan penggunaan IoT terutamanya dalam bidang pertanian, minyak dan gas serta pengangkutan,” kata Norilmi.
Tambahnya lagi, program ini disusun agar peserta dapat mempelajari teknik perniagaan yang betul, daripada membina modul perniagaan sehinggalah mengembangkan perniagaan ke luar negara.
Dengan itu, ilmu yang diperoleh dapat mempersiapkan Norilmi bersama pasukannya untuk menghadapi cabaran perniagaan dan merangka strategi terbaik untuk menjayakan model perniagaan yang dibangunkan serta mendapat bimbingan berterusan selama 6 bulan agar perniagaan dapat dikembangkan dengan jayanya.
“Sejak projek ini dimulakan pada bulan Ogos lalu, kami menjalankan kajian awal tentang kesesuaian projek secara teknikal, selain melalui pembentangan konsep awal yang dibentangkan kepada pakar teknikal satelit daripada Malaysia dan Singapura.
“Kini, kami berada dalam proses merekabentuk satelit dan stesen bumi. Satelit ini dijangka akan dilancarkan pada Januari 2023 dan beroperasi selama setahun untuk tujuan demonstrasi teknologi," katanya.
Kemenangan Norilmi bersama pemenang-pemenang lain itu diumumkan pada Sesi Pengiktirafan Pemenang SUPERB 2021 yang diadakan secara dalam talian pada 7 Januari yang baru berlalu.
Program berbentuk pertandingan keusahawanan startup SUPERB ini dianjurkan TERAJU sejak 2014, dan adalah program berasaskan ‘business pitching’ yang mengangkat idea perniagaan inovatif dan kreatif sebagai tema pertandingan.
Antara objektif utama program ini diwujudkan adalah untuk mengenalpasti usahawan permulaan Bumiputera yang berdaya saing yang menerapkan amalan kreatif dan inovatif dalam penghasilan produk dan perniagaan mereka.
Usahawan permulaan yang berjaya menyertai program SUPERB berpeluang menerima hadiah berupa geran pembangunan perniagaan. Bagi permohonan yang berada di fasa pembentukan dan pembangunan idea atau prototaip akan berpeluang menerima geran pembangunan perniagaan berjumlah sehingga RM100,000, manakala perniagaan yang sudah berada di fasa pra-pengkomersialan atau pengkomersialan berpeluang untuk menerima geran pembangunan perniagaan sehingga RM500,000.
Sejak dilancarkan pada tahun 2014, lebih 62 peratus produk dan perkhidmatan dari 208 usahawan SUPERB berjaya dikomersialkan di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Seluruh warga USM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Dr. Norilmi Amilia Ismail dan pasukannya atas penerimaan pengiktirafan tersebut.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Dr. Norilmi Amilia Ismail
- Created on .
- Hits: 751