NAIB CANSELOR RASMI DEWAN PERUNDINGAN PELAJAR
USM merupakan universiti pertama di negara ini melaksanakan Parlimen Mahasiswa sejak 23 Oktober 2010 yang dirasmikan oleh Pro-Canselor USM ketika itu, Tan Sri Razali Ismail.
USM PULAU PINANG, 22 Januari 2022 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan hari ini meminta pelajar untuk sentiasa membaiki diri, sentiasa berbuat baik dan apabila mencadang sesuatu, cadanglah untuk kebaikan ramai.
Berucap merasmikan Dewan Perundingan Pelajar (DPP) beliau berkata, adalah penting untuk kita sentiasa menerima kelemahan diri untuk membaiki diri.
"Kita perlu membuat sebanyak mungkin kebaikan dan janganlah mempunyai niat lain seperti mencari populariti.
"Kita perlu melihat kepentingan universiti dan ramai apabila membuat sesuatu cadangan termasuk untuk mengubah SOP yang bukanlah hanya untuk kumpulan kecil yang boleh diselesaikan dengan cara lain," kata Naib Canselor.
Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM Ct Faizah Abd Rahman.
Dalam persidangan pertama DPP 2021/22 itu, pelajar Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan tahun 4, Ahmad Hafizuddin Bin Abd Razak dilantik sebagai Speaker Dewan, manakala pelajar Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan tahun 3, Afirul Idris Bin Ayub Khan dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan; dan Setiausaha Agung MPPUSM, Dania Ridzlon dilantik sebagai Setiausaha Dewan.
DPP adalah manifestasi Parlimen Mahasiswa USM yang termaktub dalam Seksyen 64 Perlembagaan USM.
USM merupakan universiti pertama di negara ini melaksanakan Parlimen Mahasiswa sejak 23 Oktober 2010 yang dirasmikan oleh Pro-Canselor USM ketika itu, Tan Sri Razali Ismail.
DPP mempunyai 118 orang yang terdiri daripada ahli-ahli MPPUSM, wakil-wakil persatuan/pertubuhan pelajar dan pemerhati.
Sebanyak 25 usul dibahaskan dalam DPP kali ini.
Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1166