USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PDRM PULAU PINANG
USM PULAU PINANG, 20 Januari 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan hormat delegasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, baru-baru ini.
Kunjungan hormat itu diketuai Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Mohd Shuhaily Mohd Zain dan barisan pegawai atasan PDRM Pulau Pinang.
Kunjungan itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara PDRM dan USM dalam bidang keselamatan dan jaringan masyarakat.
Dalam kunjungan hormat itu juga, Mohd Shuhaily turut mengadakan perbincangan dengan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan mengenai beberapa aspek lain yang menjadi kepentingan bersama.
Turut hadir Komandan Kor SUKSIS USM, Asisten Komisioner Polis Kehormat Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM.
Faisal Rafiq berkata, jalinan kerjasama USM-PDRM Pulau Pinang akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan.
“USM sentiasa terbuka dalam kerjasama dengan PDRM melalui kajian-kajian para pensyarah bagi mendapatkan data-data berkaitan indeks jenayah, terutamanya di Pulau Pinang,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shuhaily mengucapkan terima kasih kepada Faisal Rafiq yang sudi menerima kunjungan delegasi PDRM ke universiti itu.
Beliau turut menyuarakan hasrat untuk melibatkan lebih banyak pegawai dan anggota polis untuk meneruskan pengajian ke universiti di peringkat sarjana dan PhD.
“Saya mendapati ramai warga PDRM yang berjaya menyambung pelajaran, terutamanya di USM dan ini merupakan perkembangan positif bagi semua pihak,” katanya.
Terdahulu, Mohd Shuhaily telah hadir menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Dadah Pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) USM di Dewan Mutiara, IPK Pulau Pinang.
Seramai 65 orang pelatih SUKSIS USM yang terdiri daripada 38 siswa dan 27 siswi hadir untuk mengangkat sumpah jawatan dan melafazkan ikrar dadah bagi pelatih-pelatih baru.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 672