USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEGAWAI PERUBATAN KONTRAK: LANJUTAN ISU KONTRAK DAN PROGRAM LATIHAN KEPAKARAN

DSC 0120 2

KOTA BHARU, KELANTAN, 19 Januari 2022 – Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (USM) (PADU) menyambut baik persetujuan Kerajaan mengenai pelantikan semula secara kontrak ini kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang telah melengkapkan tempoh kontrak khidmat wajib dilantik semula secara kontrak bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan/atau persediaan pengajian kepakaran.   

Presiden PADU, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah dalam satu kenyataan menganggap keputusan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib doktor perubatan selaku barisan hadapan yang terpaksa bertempur sepanjang pandemik COVID-19.   

"PADU ingin berterima kasih terhadap kerajaan serta semua pihak yang terlibat. Sekurang-kurangnya langkah ini merupakan inisiatif dan kesungguhan kerajaan dalam meneruskan usaha menambah baik sistem kontrak yang semakin kronik ini.

“Namun begitu, isu tidak layak doktor kontrak mendapatkan tajaan biasiswa menerusi Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian dalam peringkat kepakaran amat hangat dibincangkan kini.”  

"Umum mengetahui isu tidak layak doktor kontrak ini mendapatkan tajaan biasiswa menerusi HLP telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat terutama kepada pihak yang terkesan, sekali gus menyebabkan kekecewaan dan demotivasi yang hebat berlaku dalam kalangan mereka sedangkan majoriti mereka ini terlibat di barisan hadapan bagi menghadapi pandemik COVID-19 di pelbagai posisi," katanya.  

Di samping itu, PADU juga turut mengakui isu lanjutan kontrak ini. Semua doktor kontrak akan mendapat lanjutan dua tahun dan jika mereka layak untuk latihan pasca siswazah, kontrak akan dilanjutkan empat tahun lagi.

UD43 bagaimanapun adalah gred yang lebih rendah daripada doktor tetap yang UD48 selepas lima tahun perkhidmatan, nilai yang setara sepatutnya hendaklah UD47. Bagi doktor kontrak yang layak mengikuti latihan pasca siswazah, mungkin memerlukan tambahan tempoh 4 tahun lagi dari gred UD47 untuk proses kenaikan pangkat seterusnya.   

Dr Jafri Malin berkata penyiaran itu tidak bermakna kami bersetuju sepenuhnya dengan pengumuman itu tetapi ini adalah permulaan yang pasti serta usaha murni pihak kerajaan setakat ini.

“Kami juga percaya langkah ini merupakan inisiatif dan kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan isu yang membelenggu doktor kontrak sejak diwujudkan mulai Disember 2016,” tambah beliau.     

Menurutnya PADU meletakkan harapan tinggi kepada pihak kerajaan agar benar-benar serius dalam merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.  

Beliau berkata, kerajaan perlu berusaha untuk menambah baik sistem kontrak pegawai perubatan dan memutuskan terma dan syarat untuk memohon HLP dalam masa terdekat.

“Kami memerlukan penyelesaian bagi mereka yang tidak layak untuk latihan pasca siswazah, tetapi ini sekurang-kurangnya satu langkah ke arah yang betul,” katanya.  

Menurutnya, beliau percaya kerajaan juga akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah lain yang dihadapi oleh doktor kontrak, seperti isu:   

a.  Kriteria telus dan pemilihan doktor kontrak untuk diserap ke jawatan tetap.  

b. Faedah yang sama seperti rakan sejawat tetap seperti kenaikan gred berasaskan tempoh masa perkhidmatan, cuti kecemasan, cuti kanser dan faedah lain yang tidak tersedia untuk doktor kontrak.  

c.  Menawarkan jawatan tetap dengan KWSP untuk semua doktor kontrak dengan meminda atau nenambah baik Akta Pencen.  

Katanya lagi, “Kami tidak akan berputus asa untuk terus memperjuangkan kebajikan dan sentiasa bersedia mengadakan perbincangan dengan badan lain seperti Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan alumni perubatan lain untuk menyediakan laluan yang lebih baik bagi doktor dalam perkhidmatan awam, khususnya dalam isu doktor kontrak demi doktor muda dan sistem penjagaan kesihatan Malaysia amnya.”  

  • Created on .
  • Hits: 893

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024