USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENJIMATAN TENAGA ANTARA USAHA USM KE ARAH MELESTARIKAN KAMPUS

  • Penjimatan bil utiliti sekitar 30% setiap bulan.
  • Pemasangan panel solar PV ditanggung sepenuhnya oleh Ditrolic Energy Solutions Sdn. Bhd. melalui perjanjian yang ditandatangani USM dan syarikat tersebut.
  • Pembaikan bumbung bangunan turut ditanggung sepenuhnya oleh Ditrolic Energy Solutions Sdn. Bhd.
  • Melibatkan 70 lokasi premis yang dikenal pasti di kampus induk USM.
  • Kerja pemasangan panel solar PV dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun 2022.

56371441 8188 4FCA 8734 8B79B88ABD07
USM PULAU PINANG,
15 Januari 2022 – Abad ke-21 menjadi saksi arus kemodenan yang terus pesat berkembang, lebih-lebih lagi di dalam bidang berkaitan teknologi yang sering menjadi medan persaingan di antara negara-negara besar serta syarikat-syarikat gergasi seperti Google, Meta dan banyak lagi.

Bila disebut mengenai penggunaan tenaga semulajadi, sering kali kita membayangkan tentang penggunaan tenaga solar dan itulah usaha yang sedang dijalankan oleh pihak Universiti Sains Malaysia (USM) melalui perjanjian ‘Solar Power Purchase Agreement (SPPA)’ bersama Ditrolic Energy Solutions Sdn. Bhd. yang telah dilaksanakan September lalu.

44DBD691 3618 4B02 AD96 0CB8456B94C2

Syarikat Ditrolic Energy Solutions Sdn. Bhd. merupakan syarikat pembekal tenaga solar dan penyelesaian tenaga bersih terkemuka di Malaysia.

Menerusi sesi temubual yang diadakan baru-baru ini, Koordinator Projek yang juga jurutera di Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA) USM, Suhaimi Abu Bakar bersama Salmi Ismail berkata, misi utama projek ini dijalankan adalah untuk mewujudkan penjimatan kos utiliti dengan menggunakan tenaga semulajadi seperti tenaga solar serta mengurangkan penggunaan tenaga daripada bahan api fosil.

6FD2FD17 5FBD 44DE 9AC5 36452C98099E

“Jumlah keseluruhan bil utiliti yang digunakan oleh kampus induk adalah hampir sekitar RM1.2 juta sebulan, namun dengan kejayaan projek ini, kita dapat merekodkan pengurangan kos ataupun penjimatan sekitar 30 peratus, bersamaan hampir RM200,000 sebulan,” kata Salmi.

Tambah beliau, hasil daripada kerjasama ini, pihak USM telah ditawarkan dua pakej iaitu pembaikan bumbung serta pemasangan panel solar secara percuma dan ini telah menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM30juta yang ditanggung oleh pihak Ditrolic Energy itu sendiri.

Jelasnya, proses pembaikan bumbung ketika ini hampir mencapai 100 peratus, manakala proses pemasangan panel solar ketika ini di sekitar 30 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun tahun ini.

31BCCC24 5184 406A 8D40 5CC31376FAB6

Pemasangan sistem solar PV ini melibatkan lebih 70 lokasi premis yang dikenalpasti di seluruh kampus induk USM, antaranya Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, Desa Aman Damai, Desa Indah Kembara, Canselori II dan banyak lagi.

Usaha yang dilakukan ini semakin menghampiri matlamat konsep kampus lestari yang menjadikeutamaan agenda USM, iaitu Kelestarian@USM dengan mengutamakan penggunaan tenaga diperbaharui  dari sumber semulajadi yang bersih dan lestari, serta tidak mencemari alam sekitar, sebagaimana yang disebut oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan sewaktu majlis penandatanganan yang lalu.

Antara usaha lain yang dilakukan oleh pihak USM adalah penukaran lampu pendaflour kepada lampu LED yang bukan sahaja menjimatkan elektrik bahkan mesra alam, selaras dengan misi serta matlamat utama konsep kampus lestari USM.

3AF2D5B2 30EA 4465 8F9C 27D4453B7A02

Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Foto:Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA) USM

  • Created on .
  • Hits: 1333

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024