JALANKAN AKTIVITI HARIAN DENGAN LEBIH SELAMAT
PULAU PINANG, 26 Jun 2013 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM). Prof Dato’ Dr Omar Osman menyeru supaya semua staf untuk menjalankan aktiviti harian seperti biasa namun mengambil langkah berjaga-jaga pada musim jerebu ini.
“Pada hari ini, sebanyak 1000 risalah mengenai jerebu dan topeng muka diedarkan kepada staf di pintu-pintu masuk Universiti bermula jam 7.30 pagi. Ini adalah bagi memaklumkan kepada staf dan juga pelajar mengenai langkah-langkah yang perlu diambil menghadapi jerebu,” kata Omar yang ditemui di pintu masuk Universiti di Jalan Bukit Gambir (sebelah Stadium USM).
Antara punca utama jerebu ini adalah pembakaran di tempat tebuka. Di USM sememangnya aktiviti seperti ini dilarang keras bagi mengekal kehijauan dan kelestarian kampus sejahtera ini.
Sebagai langkah berjaga-jaga, banyakkan minum air kosong, basuh tangan dan muka dengan sabun selepas melakukan aktiviti luar dan mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simtom akibat jerebu iaitu gatal kerongkong, mata pedih dan berair serta sakit dada.
Program pengedaran risalah dan juga topeng muka ini adalah anjuran Kampus Sejahtera, USMaRT, Pusat Sejahtera, Jabatan Keselamatan dan juga Majlis Pewakilan Pelajar. Pengedaran risalah juga dilaksanakan di semua pintu-pintu masuk ke kampus dengan diwakili oleh Pendaftar, Puan Siti Zubaidah A. Hamid di pintu Batu Uban, Puan Salmiah Che Puteh di pintu Minden dan juga Timbalan Naib Canselor, Prof Dato’ Ahmad Shukri Mustapa Kamal di pintu Sungai Dua. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Yong Check Yoon dan Mohd Fairus Md Isa.
- Created on .
- Hits: 1829