USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-CSM JALIN KERJASAMA BANGUNKAN PROGRAM LATIHAN PRAKTIKAL UNTUK GRADUAN PERAKAUNAN DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

USM PULAU PINANG, 12 Januari 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM), melalui Jabatan Bendahari USM, hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Century Software (M) Sdn. Bhd. (CSM), bersempena Majlis Mini Pelancaran Projek FIS@USM (Financial Information System). 

B5274880 0786 47B5 A5CE 5B84A3B0B353

Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan bersama Pengarah CSM, Ameer Shaik Mydin, disertai Bendahari USM, Tuan Haji Kamarul Ariffin Ngah dan Ketua Jualan Agensi Kerajaan, Syanizam Azrul Anuar, dan disaksikan oleh Ahli Lembaga Gabenor USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan USM, Dato’ Seri Farizan Darus.

MoU tersebut bertujuan untuk mempromosi, membangun dan mewujudkan program latihan praktikal bagi pelajar USM dari jurusan perakaunan dan teknologi maklumat serta menyediakan penyelesaian pengurusan kewangan kepada USM termasuk penyelesaian Perancangan Sumber Kerajaan yang secara dasarnya akan memudahkan proses perakaunan di USM.

24043A4F B734 4DAB 8A9F 4B28AC93AFE4

Faisal Rafiq dalam ucapannya berkata, beliau yakin kualiti pengurusan kewangan dapat dipertingkatkan supaya dapat menyokong hasrat USM, sekaligus memenuhi keperluan semasa dan USM sebagai universiti awam, yang mana projek ini dilihat bukan hanya untuk memenuhi keperluan operasi pentadbiran malah akan meneroka dan membuka peluang bagi persediaan pelajar ke dunia pekerjaan.

B22FE707 E290 4184 87E2 17BA00F2B7A8

“Saya menyeru pelajar-pelajar dari Pusat Pengajian Pengurusan jurusan perakaunan dan Pusat Pengajian Sains Komputer yang terpilih itu untuk menunjukkan prestasi yang cemerlang semasa latihan praktikal, supaya ditawarkan peluang kerjaya di syarikat CSM apabila bergraduasi kelak,” kata Faisal Rafiq.

Sementara itu, Ameer menzahirkan penghargaan beliau kerana dapat bekerjasama dengan USM untuk melengkapkan graduan USM dengan pengetahuan digital yang praktikal apabila mereka memasuki alam pekerjaan dalam era digital ini, melalui program latihan praktikal yang akan diselenggarakan oleh pihak CSM.

3C8CCEC5 6637 416C 9760 C19FEB705535

“Kerjasama ini adalah untuk membolehkan CSM memperkasakan graduan USM untuk menjadi sebahagian daripada tenaga mahir ekonomi digital yang semakin berkembang di Malaysia, dengan menawarkan mereka peluang untuk belajar dan memberi pendedahan kepada penyelesaian pengurusan kewangan kami, khususnya penyelesaian perancangan sumber kerajaan yang kami bangunkan untuk memenuhi keperluan kementerian, agensi kerajaan atau syarikat GLC dan MNC yang mempunyai keperluan kompleks,” katanya.

Tambah Ameer lagi, perjanjian usahasama ini berhasrat menyediakan program latihan yang holistik kepada graduan USM, di samping membangunkan program latihan praktikal bersifat ‘on-site’ serta penyelesaian pengurusan kewangan CSM untuk kegunaan USM bagi memastikan proses perakaunan atau kewangan berjalan lancar.

Turut hadir dalam majlis tersebut, pihak pengurusan tertinggi universiti, pegawai-pegawai universiti dan pegawai-pegawai CSM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md. Isa 

  • Created on .
  • Hits: 607

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024