AMANAH SEBAGAI PENGARAH KAMPUS, KREDIBILITI DAN AKAUNTABILITI PERLU SELARI – PROF. AZAZI
NIBONG TEBAL, 5 Januari 2022 – “Pelantikan semula sebagai Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) adalah satu amanah yang besar,yang mana kredibiliti dalam memimpin dan akauntabiliti terhadap yang dipimpin perlu saya selarikan demi kebaikan bersama.”
Demikian kata Profesor Dr. Nor. Azazi Zakaria ketika diminta mengulas akan pelantikan semula beliau untuk jawatan tersebut untuk tempoh yang berkuatkuasa dari 1 Januari 2022 sehingga 10 April 2023.
“Bagi saya, untuk mengemudi tampuk pimpinan kampus di sebuah institusi pendidikan bertaraf antarabangsa seperti USM itu sendiri sudah menjadi cabaran yang besar dan bukan mudah untuk dilaksanakan,” kata beliau.
“Pengarah bukan sekadar memegang peranan sebagai pemimpin tertinggi, tapi juga harus menjadi model peranan,yang mana setiap tindakan, prestasi serta arahan yang dilaksanakan akan sentiasa diperhatikan serta dijadikan contoh oleh warganya,” terang Azazi.
“Oleh yang demikian, saya dengan penuh tanggungjwab akan cuba untuk menggalasnya sebaik mungkin sambil meneruskan beberapa perancangan sedia ada atau terdahulu dalam memastikan kampus ini membangun dengan lebih selesa khususnya untuk pelajar-pelajar kita,” tambah beliau lagi.
Azazi berkata, antara projek yang akan diteruskan oleh beliau dan pasukannya adalah seperti Projek Solar, Projek Gerbang dan Projek Hostel Pelajar dengan 800 katil melalui kaedah Request for Proposal (RFP).
“Selain daripada itu, pengalaman menjawat jawatan ini sejak tahun 2017 juga akan saya jadikan sebagai panduan untuk menambah baik prestasi Kampus Kejuruteraan USM selepas ini.
“Kita akan berusaha bersama dalam memastikan kampus ini bukan sahaja akan menarik minat pelajar dari dalam serta luar negara untuk melanjutkan pengajian tetapi juga menarik minat lebih ramai pihak luar terutamanya industri untuk kerjasama jangka panjang mahupun jangka pendek demi memperkasakan lagi nama baik universiti,” kata Azazi, yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), sebuah pusat kecemerlangan pengajian tinggi (HICoE) yang beroperasi di Kampus Kejuruteraan.
Kampus Kejuruteraan menawarkan peluang pendidikan dalam pelbagai bidang kejuruteraan dari peringkat ijazah pertama hingga peringkat doktor falsafah (PhD)kepada rakyat Malaysia dan juga warga asing.
Ia menempatkan enam buah pusat pengajian kejuruteraan, iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.
Sehingga kini, kampus ini mempunyai sejumlah 821 staf (279 staf akademik dan 542 staf bukan akademik) dan menempatkan kira-kira 3,800 orang pelajar dalam kawasan seluas 146.65 hektar.
Teks: Siti Faizah Abd Halim
- Created on .
- Hits: 628