BANJIR: AWASI DIRI ELAK PENYAKIT BERJANGKIT
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Januari 2022 – Banjir merupakan antara bencana alam yang tidak dapat dielakkan apabila tiba musim tengkujuh.
Sekarang ini di Malaysia, banjir kerap berlaku di luar jangkaan manusia sehingga menyebabkan kehilangan harta benda dan nyawa. Bencana yang tidak diduga ini memberi kesan kepada kehidupan sehingga membawa kepada risiko kematian.
Menurut Pensyarah Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Nik Rosmawati Nik Husain, selain kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa, bencana banjir juga boleh menyebabkan penyakit berjangkit.
"Kesan paling buruk adalah kesihatan mangsa-mangsa banjir kerana penyakit berjangkit mudah dijangkiti ketika dan selepas bencana melanda.
“Banjir yang berlaku menyebabkan sampah sarap dan takungan air najis keluar bersama-sama limpahan air dan bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit.
“Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak ketika dan selepas banjir adalah jangkitan pernafasan akut, sakit mata, leptospirosis, meliodosis, cirit-birit, hepatitis A, taun atau kolera, demam kepialu, keracunan makanan, demam denggi, jangkitan kulit, demam campak, penyakit kaki tangan dan mulut (HMFD), malaria serta cacar," ujarnya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat menerusi Kelantan FM, di sini.
Nik Rosmawati berkata, penyakit bawaan air atau makanan yang kerap berlaku ketika dan selepas banjir adalah cirit-birit, muntah, demam, sakit perut dan sakit kepala kerana penyakit ini berjangkit melalui minuman atau makanan yang dicemari oleh kuman dan mudah berjangkit serta merbahaya.
“Penyakit leptospirosis juga boleh berjangkit kepada mangsa banjir yang terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air yang dicemari oleh air kencing haiwan mamalia berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing, lembu dan sebagainya yang telah dijangkiti oleh bakteria Leptospira.
“Antara simptom penyakit leptospirosis ialah demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, kemerahan pada mata, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman," jelasnya lagi.
Tambah Nik Rosmawati, bagi mengelak penyakit ini, beberapa langkah pencegahan perlu diamalkan antaranya memastikan kebersihan persekitaran rumah, tutup dan tudung makanan supaya dihindari tikus, sentiasa mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri, jangan bermain air banjir dan lopak air terutamanya selepas banjir.
"Selain itu, cuci dan balut sebarang luka yang terdapat pada anggota badan dengan sempurna supaya tidak terdedah kepada air banjir.
"Antara langkah pencegahan yang boleh masyarakat ambil adalah pastikan sumber air yang digunakan adalah bersih dan selamat, sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air yang bersih, minum air yang dimasak sempurna atau yang telah dibotolkan, makan makanan yang baru dimasak dan panas, kupas kulit buah-buahan sebelum dimakan, elak dari makan sayur-sayuran mentah dan gunakan air yang bersih ketika membasuh peralatan penyediaan makanan dan minuman," ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai juga diingatkan apabila makan di kedai, pilihlah kedai yang pengendalian makanannya bersih serta pekerjanya telah mendapat suntikan anti-tifoid.
Beliau turut menasihatkan sukarelawan dan individu yang terlibat dengan kerja-kerja pasca banjir supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan alat pelindung diri seperti but, pelitup muka dan sarung tangan getah ketika melakukan kerja-kerja pembersihan banjir lumpur bagi mengelak penyakit berjangkit merebak dan yang paling penting dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami demam, cirit birit, muntah dan sebagainya.
Teks: Anawiah Abdul Aziz
- Created on .
- Hits: 578