USM METERAI MOU DENGAN MBI KEDAH DAN PKB, JALIN KERJASAMA STRATEGIK BANGUNKAN SEKTOR INDUSTRI UTAMA KEDAH DAN KAMPUS KEJURUTERAAN USM
ALOR SETAR, KEDAH, 6 Januari 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) dan Permodalan Kedah Berhad (PKB) untuk menjalin kerjasama strategik dalam beberapa sektor industri utama yang memberi manfaat kepada kesemua pihak terbabit.
Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBI Kedah, Tuan Haji Muhamad Sobri Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Abdul Rahman Din.
Pemeteraian MoU yang diadakan di Wisma Darul Aman, Kedah itu disaksikan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sanusi dalam ucapannya berkata, selaku Pengerusi MBI Kedah dan salah seorang alumni USM, beliau secara peribadi berasa amat berbesar hati dan menyambut baik hasrat USM untuk menjalinkan kerjasama strategik ini.
Katanya, kerjasama strategik antara USM dan MBI Kedah ini membabitkan sektor industri Tenaga Boleh Diperbaharui, Teknologi Pertanian, bidang Sumber Mineral dan Potensi Perlombongan.
Menurutnya, ia termasuk aspek Kejuruteraan Bahan melibatkan bahan binaan untuk projek perumahan kos rendah, pembangunan modal insan serta jalinan kerjasama akademik bagi projek-projek yang akan dilaksanakan di Kedah.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan USM di atas kepercayaan kepada anak syarikat MBI Kedah iaitu Permodalan Kedah Berhad (PKB) untuk melaksanakan projek Gerbang@USM dan Projek Penginapan dan Perumahan Desasiswa di atas tanah USM Kampus Kejuruteraan, Transkrian, Pulau Pinang secara BOT (Build, Operate & Transfer).
“Komponen Projek Gerbang@USM terdiri daripada hypermarket, kedai, pejabat, kompleks sukan, stesen minyak, restoran makanan segera, surau terapung dan Laman Nadi yang boleh menempatkan perniagaan 'Foodtruck', pasar malam, 'carboot sales', bazar dan lain-lain.
“Projek Penginapan dan Perumahan Desasiswa pula merangkumi 200 unit bilik standard, 156 unit bilik eksekutif, 44 unit bilik suite dan 20 unit rumah kelamin yang boleh menempatkan 1,000 orang pelajar,” katanya.
Menurut Sanusi, dengan kos pembangunan kasar bagi kedua-dua projek berjumlah RM47.5 juta dan tempoh pembangunan 36 bulan, pihaknya amat tertarik dengan perancangan projek ini yang melibatkan komponen-komponen dengan konsep yang moden dan lestari.
Katanya, beliau berharap hasil dari perjanjian itu nanti akan merintis kepada perjanjian yang lain pula seperti pembangunan fasa-fasa seterusnya dan akan melebarkan sayap hubungan kerjasama ini tanpa merugikan mana-mana pihak.
Sementara itu, Faisal Rafiq berkata, kerjasama strategik melalui MoU yang ditandatangani dengan MBI Kedah dan juga surat setuju terima Projek Gerbang dan Desasiswa Kampus Kejuruteraan USM bersama PKB pada hari ini amat memberi makna kepada USM.
Katanya lagi, beliau berharap kesemua pihak berusaha bersama-sama supaya kerjasama strategik ini akan memberi impak yang dihasratkan, dengan melonjakkan kualiti dan kehidupan pelajar dan warga kampus Kejuruteraan serta masyarakat setempat sekitar Nibong Tebal dan Parit Buntar secara menyeluruh.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim; Bendahari USM, Kamarul Ariffin Ngah; dan Pengarah Pembangunan Korporat Strategik USM, Muhamad Sabri Said, serta ketua-ketua pegawai eksekutif dan wakil-wakil syarikat dan agensi yang terlibat.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 914