KEINDAHAN DAN KEBERSIHAN KAMPUS TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA
PULAU PINANG, 23 Jun 2013 – Demi memastikan kebersihan kampus, terutamanya sekitar kawasan Tasik Harapan dan Tasik Aman Damai kekal terpelihara bersih, sekumpulan pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif bergotong-royong bagi membersihkan sekitar kawasan tersebut.
Tanpa mengira musim peperiksaan yang sedang berlangsung dan cuti semester panjang yang bakal menjelma, mahasiswa dan mahasiswi dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan anggota sukarelawan USM bersama-sama menggembleng tenaga dengan disertai beberapa pegawai tertinggi Universiti.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman berkata, kesanggupan ‘anak-anaknya’ dan ‘adik-adiknya’ menyertai acara gotong royong ini sudah membuktikan sifat kerjasama, keprihatinan yang tinggi telah menjadi kunci kejayaan Universiti berjaya mendidik mereka dalam membuat sesuatu pekerjaan tanpa mengambil kira upah atau ganjaran yang diterima.
“Walaupun aktiviti ini dilakukan pada hujung minggu, saya teruja melihat lebih 100 orang dari pelbagai kaum dan lapisan menyertainya, termasuk dari kalangan pegawai sokongan. Masa yang diluangkan bersama ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita,” katanya.
Mengakui akan merindui mahasiswa mahasiswi yang akan bercuti panjang selepas ini, Omar turut berpesan agar mereka sentiasa menjaga sahsiah diri dan keperibadian, agar dapat menzahirkan perbuatan yang sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat sekeliling.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Bendahari, Hajah Salmiah Che Puteh; Timbalan Pengarah Pembangunan, Aziz Che Jusoh adalah antara beberapa pegawai utama Universiti yang menyertai gotong royong itu yang diakhiri dengan jamuan tengah hari dan makan durian. - Teks: Mohamad Danial Shahri/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1990