USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMPEN KESEDARAN AWAM ‘NETHICS’ SECARA DALAM TALIAN TERIMA SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN

USM, PULAU PINANG, 5 Januari 2022 – Webinar ‘NETHICS Talkspace’ yang diadakan pada 29 Disember 2021 mendapat sambutan memberangsangkan apabila menerima penyertaan lebih 400 peserta dari seluruh negara.

7FC4E192 B08E 4CB4 BB9B 2ED2213B1AB0

Webinar ini dianjur serta dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi Pemujukan dari Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM).

NETHICS merupakan sebuah kempen kesedaran awam yang menggariskan fokus utama untuk memberi kesedaran tentang etika media sosial yang betul.

Ia juga bertujuan menerapkan amalan penjenamaan peribadi yang profesional dalam talian dan membendung isu gangguan siber dalam kalangan belia.

Webinar ini menampilkan penceramah jemputan Narvinni Jayakumar, juara “Miss Petite Universe International Semenanjung (MPUIS) 2020” yang juga pengasas projek #Cybercancelled.

 203890E4 0357 416C 9B35 F5E68B02CBB2 

Narvinni pada sesinya berkongsi pengalaman pernah menjadi salah seorang mangsa gangguan siber ketika berusia 16 tahun lagi.

Menurutnya, laporan polis yang dibuat ketika itu sedikit sebanyak membantunya bebas daripada perasaan takut serta meletakkan titik noktah bagi semua gangguan siber yang dialaminya itu.

“Saya kini sudah bersemangat semula selepas kejadian gangguan siber masa lalu dan kini mahu membantu mangsa-mangsa gangguan siber lain,” katanya.

Webinar itu juga menampilkan Jessie Yong Tse Shing, pensyarah separuh masa di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) yang juga berkelulusan sarjana dari Pusat Pengajian Komunikasi USM.

A033DB20 D9BE 46AF 9DA7 31738CE2C3CB

 

Jessie turut berkongsi hasil dapatan kajiannya mengenai punca berlakunya gangguan siber terhadap seseorang individu, kepentingan dan cara membantu mangsa gangguan siber serta kaedah mendidik pembuli siber.

Selain slot berkenaan, webinar ini turut memberikan peluang serta ruang bagi mana-mana peserta yang hadir untuk turut berkongsi pengalaman mereka ketika mengalami gangguan siber.

Penganjur berharap sambutan memberangsangkan itu akan membolehkan lebih banyak golongan belia memainkan peranan dalam memastikan penggunaan internet yang lebih selamat untuk semua individu.

Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli (pelajar praktikal MPRC)

  • Created on .
  • Hits: 835

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024