HARI ISTIMEWA BUAT DUA GRADUAN GENGGAM IJAZAH
USM PULAU PINANG, 17 Disember 2021 – Kemeriahan Sidang Keenam Upacara Konvokesyen ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) tetap dirasa, walaupun tidak semeriah seperti konvokesyen yang lepas, kerana berlangsung dalam keadaan norma baharu dengan pematuhan SOP yang ketat, dan hanya graduan sahaja dibenarkan masuk di dalam Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP).
Hal ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga demi membendung penularan dan berlakunya gelombang baharu COVID-19 tatkala negara masih berada dalam situasi pandemik global.
Graduan Sarjana Muda Ekonomi, Tee Chiew Rong antara yang tidak melepaskan peluang untuk hadir dan berada di atas pentas bagi menerima ijazahnya pada sidang pagi itu, walaupun dia baru sahaja menjalani pembedahan tumor (ketumbuhan) dalam otak buat kali kelima.
Chiew Rong, 26, dikesan menghidapi tumor otak sejak 2019 ketika dia berada di tahun akhir pengajian. Setelah tamat pengajian, dia telah menjalani pembedahan sebanyak empat kali di kepalanya untuk membuang tumor.
Menurutnya, ia bermula dengan hanya sakit kepala yang tersangat kuat, kemudiannya dia dirujuk ke hospital dan ketika dalam rawatan, doktor telah mengesan terdapatnya tumor.
Namun begitu, keinginan, kesungguhan dan semangatnya masih mahu mengutamakan pelajaran ketika doktor mahu segerakan pembedahan.
Dia sedaya upaya meminta untuk menangguhkan pembedahan kerana terdapat satu lagi peperiksaan yang perlu didudukinya ketika itu sebelum tamat pengajian.
“Sentiasa positif, jangan berfikir banyak dan jika sakit kepala, segera dapatkan rawatan sebelum tumor membesar,” nasihat Chiew Rong kepada sesiapa yang mengalami nasib sepertinya, sambil memberitahu bahawa penglihatannya menjadi semakin kurang.
Muhammad Afnan Annuar Samsuri pula yang berasal dari Padang Serai, Kedah, berijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan ialah seorang lagi graduan yang tidak terlepas peluang menjadi penerima istimewa hari tersebut.
Keadaan beliau yang masih bertongkat ketika menerima skrol tidak mematahkan semangatnya untuk hadir ke hari upacara konvokesyen yang hampir dua tahun dinanti-nantikan.
“Saya berasa sangat gembira dan bangga walaupun datang dalam keadaan begini,” katanya.
Dia mengalami patah dua jari kaki akibat terjatuh ke dalam longkang ketika mengambil anaknya pulang ke rumah dari tempat kerja. Sewaktu kejadian berlaku, keadaan cuaca hujan lebat menyebabkan pandangannya menjadi kabur, seterusnya menyebabkan dia dan anaknya terjatuh ke dalam longkang.
Dalam Upacara Konvokesyen ke-58 ini, Sidang Keenam dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur. Seramai 687 graduan menerima ijazah di dalam sidang ini, yang terdiri daripada graduan Sarjana Muda Kejuruteraan, Sarjana Muda Ekonomi, Sarjana Muda Seni Halus, dan Sarjana Muda Seni Muzik.
Menerusi penganugerahan kali ini, para graduan masih berpeluang memakai jubah konvokesyen, merakamkan gambar kenangan dan akan menerima skrol serta transkrip seperti upacara konvokesyen yang terdahulu, cuma yang membezakannya hanyalah SOP situasi pandemik.
Teks: Mahirah Mahyidin/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 480