USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEJUANG KANSER SERTA IBU BERBADAN DUA BUKTIKAN TIADA PERKARA YANG MUSTAHIL

USM PULAU PINANG, 14 Disember 2021 – Di sebalik sebuah kisah yang indah, pastinya ada jalan cerita yang dapat dijadikan sumber inspirasi bagi seseorang individu.

2D32A58F 1162 4AFE 914E 5D34ED5359B4

Begitulah juga dengan kisah di sebalik tiga graduan wanita yang menjadi perhatian ketika menghadiri Sidang Ketiga Upacara Konvokesyen ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Raja Shuzana Raja Jamaludin, 44, yang mengalami kanser tiroid pada 2014 serta kanser paru-paru tahap keempat pada bulan Ogos tahun ini telah membuktikan bahawa semangat yang tinggi adalah kunci dalam mencapai sesuatu yang diimpikan.

Dengan sokongan keluarga dan pensyarah serta berpegang kepada prinsip ‘teruskan dan tiada perkara yang mustahil’, ibu kepada tiga orang anak itu berjaya menghabiskan sesi pembelajaran Sarjana Sains Senaman Klinikal di Kampus Bertam, biarpun pelbagai halangan serta dugaan yang dihadapinya.

Turut ditemubual, graduan Sarjana Sains Teknologi Maklumat yang berbadan dua, Siti Haida Harris, 41, yang menceritakan tentang kerisauan beliau ketika menghadiri upacara konvokesyen tersebut, dengan melihat kepada keadaan beliau yang telah sarat mengandung selama 8 bulan.

Menurut ibu kepada dua orang anak itu, beliau bersyukur dan memuji kerana pihak USM telah menyediakan layanan istimewa bagi golongan sepertinya dengan menempatkan mereka di barisan hadapan bagi mengurangkan kerisauan ketika menaiki tangga serta mengurangkan rasa penat.

Sementara itu, seorang lagi graduan berbadan dua, Siti Badariah Zakaria, 37, yang telah menamatkan pengajian Sarjana Perubatan Penyakit Dalam dan juga guru cemerlang subjek matematik tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Baling, Kedah turut berkongsi mengenai pengalaman beliau semasa tempoh pembelajaran seperti kerap kali berlakunya pendarahan akibat daripada posisi duduk terlalu lama.

“Walaupun berada dalam keadaan sebegini, sikap positif serta semangat yang tinggi ditambah pula dengan layanan yang terbaik dari pihak universiti, sedikit sebanyak telah membantu golongan seperti saya untuk menjalani upacara konvokesyen dengan lebih lancar,” kata Siti Badariah.

Biarpun kita bersama di dalam fasa pemulihan negara daripada wabak COVID-19, ia tidak menjadi penghalang bagi pihak USM untuk terus melaksanakan Upacara Konvokesyen ke-58 dengan pematuhan SOP ketat seperti yang ditetapkan.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 5,964 graduan menerima ijazah di dalam bidang masing-masing bermula dari 13 Disember sehingga 21 Disember 2021 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Kampus Induk USM, di sini.

Apa yang pastinya di sebalik setiap kejayaan, akan ada kisah yang mampu menyentuh hati dan menyuntik semangat kita semua.

Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli (Pelajar Praktikal MPRC)

  • Created on .
  • Hits: 397

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024