USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERTAMA DI MALAYSIA: MAGNETOM AMIRA BIOMATRIX 1.5T MULA OPERASI DI HOSPITAL USM JANUARI INI

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Disember 2021 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah ke hadapan dengan menawarkan perkhidmatan pemeriksaan ‘Magnetic Resonance Imaging’ (MRI) 1.5 Tesla menggunakan mesin MAGNETOM Amira BioMatrix yang pertama di Malaysia.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, imbasan MRI adalah antara pemeriksaan penting dalam perawatan pesakit kerana imej MRI menerusi teknologi magnet dan radio dapat membantu mengenal pasti pelbagai penyakit serta masalah pesakit termasuk tumor, pendarahan, kecederaan dalaman, penyakit saluran darah atau apa-apa jangkitan penyakit.

6C97F3D3 46B5 4165 9268 DF37320A1DE5

“Selari dengan usaha untuk menawarkan perkhidmatan rawatan kesihatan terbaik kepada pelanggan, Hospital USM menerusi kerjasama strategik bersama Pusat Pengajian Sains Perubatan USM telah membuat perolehan mesin MRI dengan teknologi terkini di pasaran.

“MAGNETOM Amira BioMatrix merupakan mesin MRI 1.5 Tesla yang dilengkapi teknologi ‘Artificial Intelligence’ (AI) dan berupaya menghasilkan imej imbasan berkualiti tinggi serta konsisten terhadap semua kategori pesakit,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian MRI 1.5T Hospital USM, hari ini.

Beliau berkata, Hospital USM adalah satu-satunya hospital di Malaysia yang mempunyai MAGNETOM Amira BioMatrix pada ketika ini dan perkhidmatan mesin MRI yang menelan kos sebanyak RM5.7 juta ini akan ditawarkan mulai Januari 2022.

F0556370 23A7 4E15 B299 25DE7E8F343D

Tambah Faisal Rafiq, sistem MRI terbaharu ini juga menawarkan lebih fleksibiliti kepada pesakit yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan saiz tubuh badan, dengan teknologi kemudahan kawalan pergerakan respiratori, adaptasi sistem terhadap bahagian tubuh yang tertentu bagi mengekalkan kehomogenan magnet yang tinggi.

“Dalam masa yang sama, ia juga memendekkan masa pemeriksaan sekaligus memberi keselesaan yang maksimum kepada para pesakit semasa pemeriksaan MRI dijalankan dan secara tidak langsung lebih banyak bilangan kes yang dapat dibuat.

“Perkhidmatan eksekutif ini adalah secara berbayar dan akan mengurangkan masa menunggu giliran untuk melakukan imbasan MRI bagi pesakit berkemampuan serta secara tidak langsung dapat mengurangkan tempoh menunggu giliran bagi pesakit lain yang menggunakan mesin MRI biasa,” ujarnya lagi.

256DE357 C935 45F0 81E8 F017BF830E2C

Faisal Rafiq berkata, beliau berharap perkhidmatan ini dapat mempercepatkan lagi diagnosis penyakit dalam kalangan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital USM.

“Perolehan mesin baharu yang canggih ini secara tidak langsung membantu perkhidmatan MRI di Hospital USM kerana mempunyai satu sistem sokongan sekiranya mesin MRI sedia ada tidak berfungsi.

“Premis-premis Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan fasiliti perubatan swasta di dalam dan di luar Kelantan akan turut mendapat manfaat bersama dengan adanya mesin MRI 1.5 Tesla ini,” jelasnya lanjut.

Hospital USM turut menyediakan Suite MRI yang selesa, kakitangan kompeten dan mesra serta fasiliti serba kondusif yang merupakan nilai tambah untuk pelanggan.

Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan ini, mereka boleh hubungi Unit Pembangunan Korporat 09-7673096/4052 atau Jabatan Radiologi, Hospital USM 09-7673471/3472.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 522

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024