USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EMPAT PEMENANG PINGAT EMAS BERKONGSI FORMULA KECEMERLANGAN

USM PULAU PINANG, 17 Disember 2021 – Sidang keenam Upacara Konvokesyen ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah meraikan empat graduan penerima Anugerah Pingat Emas.

D9AAEB82 4EF7 498E 9B8B F91427861845

Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Khaw Teng Kang yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.97 berkata, dia tidak pernah menyangka bahawa dia akan menerima anugerah pingat tersebut kerana dia belajar di kelas sama seperti pelajar lain juga.

“Saya tidak pernah menyangka saya akan menerima anugerah tersebut dan saya berpegang kepada prinsip ‘cuba dahulu baru tahu hasilnya’. Saya juga sering berfikiran secara kritis dan memberanikan diri untuk bersemuka dengan pensyarah jika ada perkara atau jawapan yang kurang memuaskan yang berkaitan dengan sesuatu subjek,” kata Teng Kang yang kini bekerja sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains, Muhammad ‘Izzat Mohd Zubir yang terpilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-raja Malaysia (Pingat Jaya Cemerlang) kategori bumiputera berkata, minat yang mendalam dalam bidang Fizik merupakan antara faktor membuatkan dia berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dengan PNGK 3.80.

“Saya tidak mempunyai apa-apa cara tersendiri, saya cuma fokus dan ‘enjoy’ dengan matapelajaran Fizik, terutamanya dalam bidang mikropemproses yang berkaitan dengan Astrofizik,” katanya.

Dalam anugerah yang sama, kategori bukan bumiputera dianugerahkan kepada Tan Meei Fen, pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) yang berkata, dia memberikan sepenuh perhatian sewaktu kuliah dijalankan dan mengulang kaji pelajaran selepas kelas, berdiskusi and berusaha mendapatkan penerangan lengkap dari pensyarah berkaitan.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Meei Fen yang kini bekerja sebagai akauntan eksekutif di sebuah firma perakaunan berkata, buat masa sekarang, dia akan fokus kepada pekerjaannya untuk memperolehi pengalaman sebanyak mungkin dan seterusnya akan mengambil khusus profesional dalam bidang yang diceburi.

BE157851 DFFC 4846 9574 C32D99A15D06

Turut diraikan ialah penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor Pemimpin Pelajar Cemerlang, Dr. Muhammad Mujaahid Mohd Amin yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan Siswazah di Hospital Encik Besar Hajah Kalsom, Kluang, Johor.

Muhammad Mujaahid yang meminati bidang pengurusan berkata, dia bercita-cita untuk menjadi Pengarah Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan menjadikan Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah sebagai idolanya.

Dia pernah berkesempatan menyertai program Felo Perdana selama seminggu di bawah seliaan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, tetapi kerana terikat dengan tempoh latihan housemanship di hospital, dia terpaksa menangguhkan penyertaannya dalam program tersebut.

“Penglibatan saya sebagai Pengerusi Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah banyak membantu saya dalam pengurusan sumber manusia, yang mana saya belajar untuk membantu dan mencari penyelesaian untuk pelajar-pelajar yang menghadapi  masalah selain menjadi orang tengah dan cuba mewujudkan suasana ‘win-win’.

“Pengalaman menjadi MPP di universiti juga banyak membantu saya sebagai seorang doktor di hospital, begitu juga pengalaman sebagai pengarah program pemilihan MPP di Kampus Kesihatan membantu mengasah kemahiran saya dalam aspek kepimpinan,” katanya.

Seramai 687 graduan menerima ijazah masing-masing pada Sidang Keenam, yang dipengerusikan Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 5,964 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing, dalam sidang kedua hingga kesepuluh yang berlangsung dari 13 hingga 21 Disember di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM di sini.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 4053

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024