USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KONVOKESYEN KE-58 USM: TIADA YANG MUSTAHIL JIKA USAHA DISERTAI SEMANGAT

QK4A7936

USM PULAU PINANG, 15 Disember 2021 – Walaupun berada dalam kekangan fizikal, tiada yang mustahil jika usaha disertai dengan semangat, terutama buat graduan yang mempunyai masalah penglihatan dan berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU).

Pemegang ijazah Sarjana Pentadbiran Awam, Mohamad Fairus Azmi merupakan antara seramai 672 graduan yang menerima ijazah pada sidang keempat hari ini yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A Hassan.

Dalam sesi temu bual, Mohamad Fairus berkata kekangan semasa pandemik COVID-19 adalah salah satu cabaran yang perlu dihadapinya, iaitu apabila beliau perlu menggandakan usaha untuk mempelajari aplikasi pengajian secara dalam talian.

“Pada awalnya saya berasa agak kekok untuk mengadaptasi kaedah pembelajaran secara dalam talian kerana ianya satu perkara yang baru buat saya, tetapi dengan komputer yang mempunyai perisian pandu suara dan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh, semuanya dapat diatasi,” katanya.

REN 1214

Tambah Mohamad Fairus, beliau mendapat motivasi untuk meneruskan pembelajaran sehingga ke tahap sekarang dari rakan-rakan kelainan upaya (OKU) seperjuangan.

“Kepada rakan senasib, jangan ragu-ragu jika berkeinginan untuk menyambung pembelajaran kerana institusi pengajian di Malaysia sudah mempunyai polisi eksklusif dan mesra OKU,” katanya yang kini sedang mengikuti kursus latihan komputer.

Sementara itu, dalam sidang yang sama, meskipun sedang berpantang selepas melahirkan anak sulung, graduan Sarjana Sains Kejuruteraan Mikroelektronik, Nadia Mohamad Rozali, turut serta dengan penuh semangat hadir ke sesi upacara konvokesyen.

REN 1204

Nadia yang berasal dari Sungai Petani, Kedah berkata, beliau telah selamat melahirkan bayi perempuan pada 22 November lalu.

“Upacara konvokesyen ini merupakan hari yang dinanti oleh semua graduan dan kehadiran saya ke upacara ini adalah dengan izin suami dan ibu kerana kesihatan saya yang semakin baik,” kata Nadia yang kini bekerja sebagai jurutera di syarikat Intel.

Seramai 5,964 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing pada sidang kedua hingga kesepuluh yang berlangsung dari 13 hingga 21 Disember 2021 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 544

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024