USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENUNTUT ILMU BUKAN SEKADAR MARKAH DAN NILAI PNGK - PENERIMA PINGAT EMAS CANSELOR

QK4A1329

NIBONG TEBAL, 16 Disember 2021 – “Ketidaksefahaman dengan pensyarah itu adalah sebahagian daripada perjalanan kita dalam menuntut ilmu dan sentiasalah berpegang teguh dengan pendirian diri walaupun itu akan memicu perdebatan.

Berikut adalah kata-kata Khaw Teng Kang, graduan Kejuruteraan Mekatronik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang telah menerima Pingat Emas Canselor (Pelajar Terbaik Segala Lapangan) sempena Upacara Konvokesyen ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) yang bermula dengan Sidang Pertama pada 2 Disember 2021 di Istana Arau, Perlis.

“Pendekatan saya dalam menuntut ilmu mungkin berbeza, pertama sekali kerana saya berpendapat bahawa human is very good at gaming the system.

“Jika kita terlalu fokus untuk menyelaraskan alur kerja berdasarkan skema yang sedia ada sahaja, maka sebenarnya kita telah hilang makna pembelajaran itu sendiri.

“Apatah lagi, jika terlalu fokus untuk mendapat markah yang paling tinggi sahaja bukanlah cara pembelajaran yang mampan, sebaliknya fokuslah kepada mengejar ilmu pengetahuan sehingga kita mencapai pemahaman melebihi kehendak pembelajaran sedia ada,” kata Khaw.

“Kedua, challenging the establishment is a virtue, not a vice, malah, sumber kebenaran mutlak bukanlah hak satu pihak sahaja.

“Sebagai pelajar, kita perlu berani dalam menzahirkan pendapat masing-masing walaupun ia akan bercanggah dengan apa yang telah pelajari di dalam kelas demi ilmu pengetahun dan bukannya mengejar markah serta nilai PNGK semata-mata,” kata anak kelahiran Selangor ini.

QK4A1324

“Namun demikian, perdebatan yang bertujuan untuk mencari kebenaran dalam ilmu pengetahuan itu janganlah kita sia-siakan dengan bercakap kosong tanpa asas yang kukuh semata-mata,” tambah beliau.

Menurut Khaw, sebelum menyuarakan buah fikiran kepada pensyarah, kita sebagai pelajar perlu melakukan ulang kaji akan topik tersebut terlebih dahulu.

Tindakan ini penting demi mewujudkan sokongan hujah kepada pendirian kita dan mengelak daripada ia menjadi perdebatan yang sia-sia,” tambah anak sulung dari dua orang adik-beradik ini.

Selain itu, perkara yang paling penting menurut beliau adalah adab ketika perbincangan itu berlangsung, jangan lupa bahawa kita adalah penuntut ilmu dan pensyarah adalah pemberi ilmu, kekalkan rasa hormat yang tinggi walaupun dalam perdebatan.

“Oleh sebab inilah saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pensyarah-pensyarah yang sentiasa bersabar dengan kerenah saya selama ini, jasa pensyarah tidak akan saya lupakan,” kata beliau yang sangat mengagumi tokoh kepada Model Heliocentrism, Galileo Galilei ini.  

Mengakui terkejut apabila dianugerahkan pingat seunggul itu, Khaw yang merupakan anak kepada pengendali pengorek-kaut dan suri rumah sepenuh masa ini juga berbangga kerana ini adalah bukti bahawa pihak universiti mengiktiraf usaha serta cara beliau dalam mengejar ilmu walaupun agak berbeza daripada pelajar-pelajar yang lain.  

QK4A9234

“USM ini umpama tempat yang penuh dengan peluang yang terbuka dan sentiasa mengalu-alukan pembangunan diri pelajar sama ada dalam akademik mahupun insaniah.

“Paling penting, saya telah menemui ramai orang hebat di sini yang telah membentuk cara pemikiran serta falsafah hidup saya pada hari ini dan mereka semua akan sentiasa ada tempat yang istimewa di hati saya,” kata Khaw di akhir perbualan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Mohd Fairus Md. Isa 

  • Created on .
  • Hits: 600

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024