USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KONVOKESYEN KE-58 USM: 6 STAF PENTADBIRAN GENGGAM IJAZAH KEDOKTORAN BERSAMA

PULAU PINANG, 13 Disember 2021 – Pengorbanan enam staf pentadbiran (Pengurusan dan Profesional, P&P) Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga merupakan sahabat baik, belajar sambil bekerja berakhir dengan kenangan manis apabila dapat menggenggam ijazah kedoktoran (PhD) bersama-sama di Sidang Kedua, Upacara Konvokesyen kali ke-58 USM 2021, hari ini.

C70BDD22 9AA8 41BE BCF8 EDA77F366FDA

Empat daripada mereka menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) iaitu Dr. Subramaniam Govindan, Ts. Dr. Hazrieffendy Bakri, Ts. Dr. Mohamed Azlan Ashaari dan Ts. Dr. Shahrizal Nazri, manakala Dr. Lim Chee Ann dan Dr. Nazrul Hassan menerima Ijazah Doktor Falsafah.

Dalam satu sesi temu ramah, Subramanian berkata, pendorong utama beliau untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi adalah kata-kata terakhir dari mendiang ibunya, dorongan isterinya, pengurusan tertinggi universiti dan tenaga akademik yang sentiasa memberi semangat serta galakan kepadanya untuk meneruskan pengajian.

“Walaupun ada yang berkata sukar untuk membahagikan masa untuk belajar secara sambilan apabila sudah berumah tangga, ia tidak akan berlaku selagi kita ikhlas, mempunyai disiplin diri dan komited terhadap sesuatu perkara serta mampu mengurus masa dengan baik,” kata Subramanian yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pendaftar di Pusat Pengajian Sains Kimia, USM.

Bagi Hazrieffendy yang kini berkhidmat sebagai Penolong Bendahari Kanan universiti, cabaran yang paling sukar selama mengikuti pengajian adalah dia terpaksa menyelesaikan kajian dan juga melaksanakan projek ERP@USM pada masa yang sama.

“Pengajaran dan pengalaman yang paling bermakna selama menjalani pengajian adalah saya mendapat sokongan bersifat empati daripada para pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Kementerian Pengajian Tinggi, keluarga serta rakan-rakan seperjuangan,” kata Hazrieffendy.

Menurut Mohamed Azlan pula, sebagai seorang Timbalan Pendaftar universiti, motivasi utama yang mendorong beliau melanjutkan pelajaran adalah untuk memastikan golongan pentadbir juga boleh bersama-sama dengan golongan akademik untuk menyumbang idea dan tenaga dalam membangunkan USM secara harmonis sebagai satu pasukan yang berjaya tanpa ada sebarang diskriminasi dan perasaan prejudis antara satu sama lain.

“Sepanjang saya memulakan perjalanan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana sehingga ke peringkat kedoktoran, saya memegang falsafah ‘No Pain, No Gain… No Retreat, No Surrender’.

“Kepada rakan-rakan seperjuangan, ingatlah pepatah ini, ‘Great things will only happen to those who never stop believing, trying, learning, falling and being grateful to Allah for whatever challenges outlined ahead,” tambah beliau, yang juga menerajui Jabatan Keselamatan USM sebagai Pengarah.

Shahrizal yang memegang jawatan hakiki sebagai Pegawai Teknologi Maklumat berkata, beliau mengambil masa selama empat tahun untuk menamatkan pengajian.

“Perit jerih menjadi adat apabila bekerja sambil belajar dan saya mengalu-alukan rakan-rakan lain jika berkeinginan untuk menyambung pengajian. Saya merancang untuk menyertai bidang penyelidikan pula dan mengambil semua peluang yang ada bagi memajukan diri,” katanya.

Bekerja sebagai Pegawai Keselamatan di USM, Lim yang berkelulusan ijazah kedoktoran dalam bidang Ekonomi Pembangunan berkata, walaupun tugas hakiki beliau bukan dalam bidang akademik, akan tetapi dengan kemahiran atau 'soft-skill' yang diperolehi, beliau telahpun mengaplikasikannya dalam tugasan harian seperti perkongsian ilmu dan kemahiran bersama staf jabatan dari segi penyediaan pembentangan slaid serta pelaporan yang kemas, teratur, idea yang efektif yang berteraskan teknologi semasa, perkongsian ilmu dan pengalaman kepada masyarakat seperti jemputan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah.

“Antara cabaran yang paling sukar dihadapi semasa pengajian adalah dari segi pengurusan masa antara kerja dan waktu untuk menyiapkan tesis. Keduanya ialah ketersediaan mental, fizikal dan emosi yang merupakan faktor utama untuk menjana idea dalam penulisan tesis dan ketiga ialah kesan pandemik COVID-19,” kata Lim.

Sementara itu, Nazrul yang kini menyandang jawatan sebagai Ketua Penolong Pendaftar di Penerbit USM berkata, pengalaman yang paling bermakna semasa menjalani pengajian adalah beliau dapat meningkatkan tahap penguasaan ilmu, mengasah bakat menulis, dan menajamkan kemahiran menganalisis, yang telah membantu beliau untuk memahami budaya ilmu dan wacana kesarjanaan dalam konteks kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan staf di USM.

“Cabaran yang paling sukar dihadapi semasa menjalani pengajian ialah mengimbangi tekanan antara menyempurnakan tanggungjawab dan menggapai impian serta cabaran, juga yang tidak kurang pentingnya adalah dari segi faktor kewangan yang memerlukan saya untuk berjimat cermat dan menguruskan kewangan dengan sebaik-baiknya,” tambah Nazrul.

Seramai 567 graduan menerima ijazah pada sidang kedua hari ini yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.

Sejumlah 5,964 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing pada sidang kedua hingga kesepuluh yang berlangsung pada 13 hingga 21 Disember di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM.

Pihak universiti amat berbangga dengan pencapaian keenam-enam pentadbir tersebut kerana berjaya melanjutkan pelajaran serta meningkatkan pencapaian ke peringkat yang lebih tinggi.

  4DA186E2 E31E 43A2 8479 C24BA930DB76

Kesemua mereka merasakan bahawa adalah amat penting untuk meningkatkan tahap penguasaan ilmu untuk pembelajaran sepanjang hayat.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 525

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024