USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SISWAZAH USM DISERU KEMBALI BERBAKTI KEPADA UNIVERSITI - CADANG ALUMNI BANTU KEUSAHAWANAN, MENTOR DAN KAUNSELING

267567905 10226291623821379 7233393301426034305 n

USM PULAU PINANG, 16 Disember 2021 – Siswazah Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk kembali berbakti kepada Universiti.

Berucap dalam Sidang Kelima Upacara Konvokesyen Ke-58, Pro-Canselor Tan Sri Datuk Mustafa Mansur berkata, sebagai alumni, para siswazah memegang amanah besar untuk kembali ke kampus  membantu universiti dan pelajar yang ada.

"Saya harap universiti dapat manfaatkan jumlah besar alumni, misalnya dalam program keusahawanan.

Ramai alumni berjaya yang boleh mengambil pelajar sebagai keluarga angkat untuk belajar ilmu keusahawanan dan perniagaan dengan mendedahkan mereka kepada bisnes serta membimbing mereka," kata beliau.

Tegasnya lagi, alumni dan profesor di universiti yang berjaya juga boleh membimbing pelajar sebagai mentor untuk berjaya, terutamanya mereka dari kumpulan B40 yang perlukan bimbingan.

"Alumni juga boleh menyumbang dalam menyediakan kemudahan yang ada seperti bilik asrama, dewan kuliah dan makmal penyelidikan," tambah beliau.

Mustafa meminta alumni USM untuk terus berhubung dengan USM terutamanya melalui pusat pengajian masing-masing.

"Alumni mesti kembali ke universiti untuk membantu dalam keadaan pandemik ini, misalnya dalam kaunseling dan kesihatan mental dan mereka ini boleh dimanfaatkan untuk dilibatkan dalam membantu pelajar yang mungkin menghadapi isu kesihatan mental," tegasnya lagi.

Beliau sebelum itu menyampaikan ijazah kepada 649 orang siswazah dari jurusan Farmasi, Sains Kesihatan dan Doktor Perubatan. Keseluruhan alumni yang dikeluarkan oleh USM kini ialah 185,563 orang.

Mustafa Mansur adalah Tokoh Alumni USM yang mendapat ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan pada tahun 1976, terlibat sebagai ahli Majlis Universiti pada tahun 1978 sehinggalah menjadi Pro-Canselor sekarang ini.

Ketika belajar beliau sangat aktif dalam pelbagai aktiviti dan memulakan Pesta Hoki Antarabangsa USM, semasa memegang jawatan Pengerusi Majlis Sukan Pelajar.

Beliau juga adalah tokoh korporat yang disegani dan pernah menerajui Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa 

  • Created on .
  • Hits: 595

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024