MB KEDAH LAWAT TAPAK ARKEOLOGI MERBOK
MERBOK, Kedah 22 Jun - Menteri Besar Kedah, Dato' Paduka Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir mengadakan lawatan ke tapak Projek Penyelidikan Arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) di Sungai Batu di sini petang ini. Beliau diberikan taklimat oleh pegawai dari Jabatan Warisan Negara dan juga dari wakil Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Hamid Mohd. Isa.
Turut menyambut beliau ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Pengarah Bahagian Pembangunan Institusi dan Komunikasi Strategik, Profesor Dr. Badaruddin Mohamed.
Penyelidikan dan ekskavasi arkeologi di tapak baru di Sungai Batu, Lembah Bujang bermula pada Februari 2009 yang ditemui oleh para penyelidik USM pada tahun 2007. Tapak ini terletak dalam kawasan ladang kelapa sawit berdekatan dengan jalanraya baru Merbok–Semeling yang mendedahkan bukti struktur batu bata yang berada di tepi aliran Sungai Batu dan cawangannya yang mungkin merupakan struktur binaan yang mempunyai kaitan dengan sungai.
Lokasi ini mempunyai keunikan tersendiri iaitu mempunyai sistem pengaliran anak sungai yang menunjukkan seolah-olah setiap permatang terpisah menjadi seperti pulau-pulau yang dikatakan amat strategik untuk menjalankan aktiviti perdagangan dan pertahanan dan masih berada dalam lingkungan pengaruh tamadun Lembah Bujang yang berkemungkinan mempunyai asosiasi dengan tapak-tapak lain seperti tapak Sungai Batu Pahat, Kampung Pengkalan Bujang, Kampung Bendang Dalam dan berada dalam kawasan tapak Candi 71.
"Kita berharap agar tapak ini juga akan menjadi tarikan pelacongan tanpa menjejaskan persekitarannya dan berharap ia dapat diwartakan segera sebagai satu lagi tapak warisan UNESCO," kata Mukhriz.
Kawasan ini diharapkan akan dapat dibangunkan sebagai Kompleks Arkeologi Sungai Batu yang menunjukkan tamadun tertua Asia Tenggara (1900 tahun lalu) melalui penemuan-penemuan seperti monumen, jeti dan tapak perlombongan. Penyelidikan USM dibuat dengan dana dari Jabatan Warisan Negara. Berdasarkan Laporan & Foto: Mhd Ramli Mehat.
- Created on .
- Hits: 2342