USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TERAP NILAI KEPEMIMPINAN PROAKTIF UNTUK CAPAI KEJAYAAN

QK4A7813

USM PULAU PINANG, 15 Disember 2021  Kejayaan yang digapai pada hari ini bukan lahir dengan sendirinya tanpa usaha dan pengorbanan serta komitmen yang telah dicurahkan anda selama proses menuntut ilmu.

Demikian ujar Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A.Hassan ketika Sidang Keempat Upacara Konvokesyen ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini, yang juga menegaskan dunia kini yang serba-serbinya mencabar memerlukan pemimpin yang kukuh jati dirinya dan utuh semangat kecintaannya kepada agama, bangsa dan negara. 

“Bangunkanlah kekuatan diri yang jitu dalam sanubari saudara-saudari, dalam kita menelusuri kehidupan yang kian mencabar ini dan berhentilah daripada terus bersangka buruk dan negatif kepada keadaan sekeliling, terus muhasabah diri dan praktikkan sikap pro-aktif dalam mendepani ombak cabaran yang mendatang nescaya pengakhirannya akan terselit hikmah yang dinantikan segenap masyarakat,” katanya.

Tambahnya lagi, untuk berjaya, graduan masih perlu berusaha secara gigih, secara berdedikasi serta secara pintar, dan perlu sentiasa menghadapi apa jua cabaran mendatang secara tenang, berhemah dan bijaksana.

“Other things being equal, an employer always gives priority to someone who has intelligence, energy and integrity. Furthermore, always be thoroughly professional, be a cut above the rest, and never fail to deliver beyond expectation,” ujarnya lagi dalam Bahasa Inggeris.

Zulkefli juga menegaskan bahawa kepimpinan boleh menjadi sesuatu yang menakutkan, pada masa yang sama, ia sangat memberi manfaat, terutamanya apabila graduan memiliki pasukan yang hebat untuk bekerjasama nescaya graduan akan menyedari bahawa terdapat banyak maksud dan ertinya menjadi seorang pemimpin kelak.

“Di sini ingin saya tekankan bahawa kepimpinan yang berteraskan “Kecekapan Kepimpinan” dalam meningkatkan tahap keyakinan diri boleh dilihat melalui pelbagai aspek, termasuk melalui cara graduan menyelesaikan sesuatu permasalahan, bahasa tubuh, cara dan perkataan yang dilontarkan ketika berkomunikasi dan pelbagai lagi pendekatan yang positif.

“Usahlah gentar untuk mencuba sesuatu perkara baharu kerana tanpa mencuba, mana mungkin graduan tahu sejauh mana kemampuan yang ada dalam diri sendiri,” jelasnya lagi.

Di akhir ucapan, Zulkefli memetik kata-kata dari Profesor Daniel Goleman yang merupakan seorang pakar kepimpinan dan kecerdasan emosi yang diiktiraf di seluruh dunia, iaitu “PEMIMPIN HEBAT MENYENTUH HATI, MEREKA MENYEMARAKKAN NYALA RASA DAN MENYUNTIK INSPIRASI DENGAN CARA YANG TERBAIK.”

Dalam kalangan para pemimpin yang berjaya, mereka bukan sahaja mempamerkan, malahan mampu menjadi contoh kepada tahap kepintaran, kecerdasan, integriti dan humiliti yang tinggi serta disegani.

Sidang Keempat menyaksikan seramai 672 orang graduan menerima ijazah sarjana daripada kursus Sains Kejuruteraan, Senibina, Sains Kemasyarakatan, Sastera, Kerja Sosial, Pengurusan Ekonomi, Pentadbiran Awam, Informatik, Komunikasi, Pendidikan, Kaunseling, Pentadbiran Perniagaan, Instruksi Multimedia dan Amalan Pembangunan Lestari.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 535

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024