JADIKAN HIKMAH PANDEMIK TITIK TOLAK KEPADA KEHIDUPAN LEBIH BAIK
USM PULAU PINANG, 14 Disember 2021 – Banyak yang kita pelajari dari pandemik COVID-19 dan ia mengubah hampir keseluruhan kehidupan kita pada hari ini.
Demikian ujar Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A.Hassan dalam Sidang Ketiga Upacara Konvokesyen ke-58 USM hari ini yang juga menyifatkan ianya telah menjadikan yang mustahil kepada realiti, yang tidak nyata kepada nyata, yang jauh didekatkan, namun apa yang perlu diingati, ia memungkinkan kita untuk berfikir di luar kotak untuk meneruskan kelangsungan kehidupan walau apa jua latar belakang kita.
“Saya yakin, dengan cabaran yang dilalui, pandemik ini turut mengajar anda untuk terus bangkit menuntut ilmu walau caranya tidak sama dengan sebelumnya, Justeru, teruskanlah kecekalan yang ada untuk terus melangkah ke fasa seterusnya, sebagai seorang dewasa yang berilmu,” katanya.
Pun begitu katanya, dalam mengejar apa pun jua cita-cita anda, ingatlah untuk berbakti kepada komuniti. Kita bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan komuniti di sekeliling kita. Jadilah insan yang dapat memberi nilai tambah kepada kehidupan masyarakat.
“Para graduan perlu membentuk semangat ingin memimpin komuniti di persekitaran masing-masing ataupun di mana jua, ke arah suasana hidup yang lebih baik dan bermakna.
“Dengan kejayaan memperbaiki keadaan masyarakat, terutamanya golongan ‘bottom billion’, ia akan menjadi kejayaan yang mencakupi ruang yang lebih besar dalam perjalanan hidup para graduan,” ujarnya lagi.
Zulkefli juga menegaskan Universiti amat berharap graduan akan terus mempunyai rasa kepunyaan kepada menara ilmu ini dan beliau amat berharap agar graduan yang kini secara rasmi bergelar alumni USM tidak pernah jemu untuk kembali ke USM, mencurah bakti dalam pelbagai cara untuk terus melestarikan dan membangunkan menara ilmu yang dicintai ini.
Dalam masa sama,beliau juga mengingatkan yang Internet pada hari ini berupaya memperkasakan masyarakat di pelbagai peringkat namun ia turut membuka peluang kepada kesan negatif jika tidak digunakan dengan berhemah dan bijaksana.
“Manfaatkan teknologi ke arah kebaikan, jangan menyebar rasa benci, jangan menyebar fitnah di alam maya dengan berkongsi fakta yang tidak betul dan paling utama, jangan biarkan anda menjadi sebahagian dari adegan viral yang mendatangkan keburukan kepada anda dan persekitaran anda,” tegasnya.
Sidang Ketiga menyaksikan seramai 665 orang graduan menerima Sarjana Sains, Kesihatan, Perubatan, Pergigian, Surgeri, dan Farmasi yang menjadikan keseluruhan alumni USM sekarang berjumlah 185,563 orang.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 639