USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SISWAZAH USM PERLU BERINTEGRITI DAN BERPEGANG KEPADA NILAI MORAL YANG TINGGI

267593236 10226292371520071 2645738136622464694 n

USM PULAU PINANG, 13 Disember 2021  Kegawatan dunia akibat pandemik COVID-19 menunjukkan betapa pentingnya penyelidikan saintifik, kreativiti dan inovasi, penggunaan teknologi tinggi, keusahawanan dan kepimpinan nilai moral yang tinggi dalam membina masyarakat dan dunia masa hadapan.

Menurut Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan, dengan berpaksikan nilai-nilai murni yang tinggi dan disegani, keseimbangan di antara "hi-tech" dengan "hi-touch" ini sahajalah yang akan memastikan kelangsungan hidup dan tamadun manusia terjamin.

"Semua ini perlu dikuasai, difahami dan dilakukan dengan sebaik mungkin untuk kelangsungan hidup masyarakat.

"Para siswazah dan ilmuwan yang ada perlu memimpin dan menunjukkan jalannya dengan menguasai nilai-nilai hidup yang benar berteraskan integriti dan moral yang tinggi, melalui tindakan-tindakan yang berani mengikut landasan yang ada berpandukan agama," tegas Zulkefli.

Beliau berucap setelah menyampaikan ijazah kepada 567 orang siswazah USM di Sidang Kedua Upacara Konvokesyen Ke-58 USM. Jumlah keseluruhan alumni yang dikeluarkan oleh USM kini ialah 185,563 orang.

Jelas beliau lagi, pastinya hal ini akan membolehkan para siswazah lebih dipercayai dan menjadi pemimpin yang sangat diperlukan oleh masyarakat masa kini.

"Berilah khidmat yang terbaik dan teruslah kuasai ilmu biar di mana pun berada serta tunjukkan bukti dan tanamkan kepercayaan masyarakat bahawa saudara-saudari adalah sebahagian dari ilmuwan yang sentiasa menjulang nilai ilmu berasaskan asas-asas yang dinyatakan tadi," kata beliau lagi.

Pada sidang kedua itu juga, terdapat kohort siswazah sulung Sarjana Psikologi (Klinikal), Sarjana Neurosains Kognitif, Sarjana Sains (Nano-Optoelektronik), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (USM-ITB) serta Diploma Lanjutan Kejururawatan Renal.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 531

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024