IMPIAN KOMANDER PERBARISAN WANITA PERTAMA USM TERCAPAI, DILANTIK SEBAGAI PEGAWAI KANAN POLIS
USM PULAU PINANG, 22 Disember 2021 – Melihat kembali pada tahun 2019, Nuraida Shafiza Abdul Jalil, iaitu Pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS) Universiti Sains Malaysia (USM), berjaya mencatatkan sejarah apabila dipilih sebagai Komander Perbarisan (Parade Commander) bagi Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Perlantikan Pegawai Kor SUKSIS Universiti Awam (UA) Ke-15.
Kini individu dengan nama itu boleh berbangga apabila minat dan cita-citanya sejak di universiti sebelum ini telah menjadi kenyataan selepas berjaya menamatkan latihan sebagai pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Walaupun bertubuh kecil namun Inspektor Nuraida Shafiza, 26, yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, Kelantan membuktikan dirinya mampu memberikan khidmat kepada negara.
Katanya, minat yang mendalam terhadap unit beruniform terutamanya PDRM, membuatkan dirinya bertekad untuk menjadi pegawai polis.
"Sebaik sahaja tamat universiti (USM), saya diterima sebagai pelatih di PULAPOL (Pusat Latihan Polis) dan berjaya menamatkan latihan sebelum ditempatkan di IPD Tumpat.
"Alhamdulillah, Kor SUKSIS banyak mengajar saya menjadi lebih berani dan tabah sekaligus membolehkan saya menamatkan latihan dengan jayanya," katanya yang ditemui selepas Majlis Konvokesyen USM ke-58 baru-baru ini.
Nuraida Shafiza merupakan salah seorang daripada 206 graduan yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan pada sidang terakhir majlis konvokesyen itu.
Berkongsi pengalaman ketika menjadi komander perbarisan pertama USM, Nuraida Shafiza berkata, walaupun agak sedikit gementar kerana majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, namun dia memberanikan diri kerana minatnya dalam pasukan beruniform itu.
"Minat terhadap unit beruniform ini lahir dalam diri sendiri dan bukannya paksaan dari sesiapa kerana dalam keluarga saya tiada sesiapa yang menyertai mana-mana unit beruniform.
"Alhamdulillah, kini saya sudah menjadi sebahagian dari pegawai PDRM dan sentiasa bersiap sedia untuk memberikan yang terbaik dalam usaha membanteras jenayah sekaligus berbakti kepada masyarakat dan negara," katanya yang masih belum berumah tangga.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Nuraida Shafiza Abdul Jalil
- Created on .
- Hits: 1125