USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CHONG WEI TERIMA ANUGERAH IJAZAH KEHORMAT DOKTOR SAINS SUKAN USM

30

ARAU, PERLIS, 2 Disember 2021 – Bekas jaguh badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan sempena Upacara Konvokesyen Ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) di Istana Arau di sini, hari ini.

Chong Wei menerima penganugerahan tersebut daripada Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yangjuga Tuanku Canselor USM, yang berkenan berangkat mempengerusikan sidang pertama upacara konvokesyen USM.

Sejarah tercipta apabila buat julung kalinya upacara konvokesyen USM dilangsungkan di Istana Arau tempat DYMM Raja Perlis bersemayam.

QK4A4511

 

Naib Canselor USM, ProfesorDato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, ijazah kehormat dianugerahkan kepada Chong Wei di atas jasa bakti dan sumbangannya dalam mengharumkan nama negara sebagai pemenang pingat perak sebanyak tiga kali pada Sukan Olimpik (Beijing 2008, London 2012, dan Rio 2016) selain merupakan Tokoh Sukan Negara.

“Selain Chong Wei, empat lagi individu menerima anugerah masing-masing hari ini iaitu Dr. David Lacey yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains. Beliau merupakan tokoh industri yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara melalui kepakarannya dalam bidang teknologi LED cekap tenaga.

Mantan Naib Canselor wanita pertama USM yang dikenali atas ketokohan dan kepimpinan beliau dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan mikrobiologi dan bioteknologi perubatan serta peneraju Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), Datuk Dr. Asma Ismail menerima gelaran Profesor Emerita manakala bekas akademia USM yang banyak menyumbang dalam penyelidikan dan pembangunan industri herba dan halal, Dr. Zhari Ismail menerima gelaran Profesor Emeritus," katanya kepada wartawan selepas upacara berkenaan.

Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menganugerahkan Pingat Emas Canselor (pelajar terbaik segala lapangan) kepada Khaw Teng Kang, graduan daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang mencapai purata nilaian gred keseluruhan (PNGK) 3.97.

Sementara itu, Chong Wei ketika ditemui selepas upacara itu berkata, beliau sangat berbesar hati di atas pengiktirafan berkenaan dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan USM dalam memajukan bidang Sains Sukan.

"Inilah kali pertama saya mendapat anugerah seperti ini dan saya akan melihat bagaimana saya boleh gunakan pengalaman saya dalam bidang sukan ini untuk membantu pihak universiti pada masa akan datang," katanya, yang hadir bersama isterinya, Datin Wong Mew Choo.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pemain-pemain badminton negara terutamanya pemain muda yang semakin meningkat naik supaya mempersiapkan diri bukan sahaja dengan keupayaan dan kekuatan fizikal, sebaliknya perlu mempunyai ketahanan mental yang kuat dalam menghadapi cabaran khususnya di kejohanan besar seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Sidang kedua hingga kesepuluhUpacara Konvokesyen ke-58 USM akan berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, Pulau Pinang dari 13 hingga 21 Disember ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Seramai 1,899 individu akan menerima Ijazah Kedoktoran dan Sarjana, 4,031Ijazah Sarjana Muda dan 34 Diploma Kejururawatan, dengan jumlah keseluruhan seramai 5,964 graduan.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md isa

  • Created on .
  • Hits: 488

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024