HENTIKAN AKTIVITI YANG ANCAM KESEJAHTERAAN MASYARAKAT, TITAH DYMM TUANKU CANSELOR USM
ARAU, PERLIS, 2 Disember 2021 – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menitahkan agar semua pihak berhenti daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh mengancam kesejahteraan masyarakat.
“Sebaliknya keutamaan mestilah diberikan sepenuhnya kepada pembangunan masyarakat dan negara, lebih-lebih lagi pada masa negara sedang melalui fasa pemulihan akibat daripada pandemik COVID-19.
"Pertelagahan mahupun pertelingkahan yang dapat meruntuhkan benteng perpaduan masyarakat termasuk melalui media sosial perlu dihentikan sepenuhnya," titah Baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Upacara Konvokesyen Ke-58 USM yang diadakan di Bilik Menghadap Hijau, Istana Arau, di sini pada pagi ini.
Sejarah tercipta apabila buat julung kalinya upacara konvokesyen USM dilangsungkan di Istana Arau tempat DYMM Raja Perlis bersemayam.
Menurut Baginda lagi, ilmu dan pengetahuan adalah amat penting dalam kehidupan harian dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin agar kita dapat keluar seberapa segera yang boleh dari kemelut yang datang menimpa.
"Beta percaya kita mampu melakukannya dan setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan penting untuk bersama-sama memerangi COVID-19,” titah Baginda.
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap agar para ilmuwan kita dalam pelbagai bidang kepakaran dapat bersatu tenaga dan fikiran serta lebih kreatif dan inovatif dalam membantu negara dan masyarakat.
"Kita perlulah memainkan peranan dalam pembangunan semula ekonomi negara dan pada masa yang sama memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara," titah Baginda lagi.
Baginda turut mendoakan agar para siswazah USM akan terus cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi dan memberikan sumbangan bakti kepada negara dan bangsa.
Turut sama berangkat dalam majlis berkenaan ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia(DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, YB Dato’ Haji Hamdan Bahari; dan Menteri Besar Negeri Perlis, YAB Dato’ Seri Azlan Man.
Upacara Konvokesyen ke-58 USM ini turut menyaksikan penganugerahan ijazah kehormat, gelaran Profesor Emeritus dan Profesor Emerita kepada empat orang tokoh tersohor dalam bidang masing-masing sebagai penghormatan dan pengiktirafan tertinggi universiti terhadap segala sumbangan yang diberikan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Mereka adalah tokoh industri Dr. David Lacey (Ijazah Kehormat Doktor Sains);tokoh sukan negara, Datuk Wira Lee Chong Wei (Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan); tokoh akademia, Datuk Dr. Asma Ismail (Profesor Emerita); dan Dr. Zhari Ismail - tanpa hadir (Profesor Emeritus).
Selain itu, DYMM Tuanku Canselor juga menganugerahkan Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Khaw Teng Kang (Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik) sebagai pelajar tahun akhir terbaik dalam segala lapangan bagi Sidang Akademik 2019/2020.
Turut hadir ialah Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan; Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Timbalan-timbalan Naib Canselor serta Dekan-dekan yang memperkenalkan penerima-penerima utama tersebut.
Upacara Konvokesyen Ke-58 USM bermula pada hari ini (sidang pertama) di Istana Arau, Perlis, diikuti dengan sidang ke-2 yang akan dilangsungkan pada 13 Disember 2021 hingga sidang ke-10 pada 21 Disember 2021 (9 hari berturut-turut, setiap hari satu sidang) di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Kampus Induk USM.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 475