NAIB CANSELOR BERTEMU MB JOHOR BINCANG KERJASAMA
Johor Bahru, 22 Jun - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini bertemu hormat Menteri Besar Johor, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin untuk berbincang tentang kerjasama yang akan dijalankan pada masa hadapan.
"Eloklah kalau USM dapat membantu memberikan kepakarannya untuk pemindahan ilmu dalam bidang-bidang tertentu yang ada kekuatannya dalam libat sama masyarakat," kata Mohamed Khaled.
Pertemuan dalam suasana penuh mesra dengan mantan Menteri Pengajian Tinggi dilihat berjaya untuk membolehkan USM bekerjasama dalam pembangunan negeri Johor.
"Pertemuan ini amat bermakna apatah lagi beliau meminta untuk USM mengemukakan cadangan-cadangan dalam memperkukuhkan kerjasama sedia ada, misalnya pembangunan Hutan Simpan Endau Rompin dan Gunung Ledang yang sebelum ini Pusat Pengajian Sains Kajihayat telah pun mempunyai persefahaman dengan pihak di sana," kata Omar.
Tambahnya lagi, USM juga berminat untuk menjalin kerjasama dalam meningkatkan kemahiran dan produktiviti sektor awam di negeri Johor melalui program-program latihannya seperti mana hasrat Menteri Besar untuk meningkatkan program latihan profesional di negeri Johor.
Menurut Omar, USM ingjn lebih dilibatsama dalam aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan negeri Johor, apatah lagi dengan adanya lebih 4,000 orang alumni USM berada di sini dan diharapkan dapat sama digembleng untuk bersama-sama kerajaan negeri Johor terus membangun. TEKS/FOTO: Mohamad Abdullah.
- Created on .
- Hits: 1503