USM BERDUKACITA, GERAK MISI BANTUAN KE NEGERI TERJEJAS BANJIR
USM PULAU PINANG, 20 Disember 2021 – Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) merakamkan ucapan takziah dan berdukacita kepada seluruh rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana banjir kilat yang berlaku di enam negeri utama di Malaysia terutamanya Selangor baru-baru ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang mewakili pihak pengurusan tertinggi universiti menzahirkan rasa dukacita dan sedih dengan situasi yang berlaku ini.
Pihak USM juga sedang dalam perancangan untuk menghantar misi bantuan segera ke negeri terlibat bermula dengan Selangor melalui Majlis Penggawa, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), dan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Desasiswa (MPD).
Misi bantuan ini juga melibatkan pelancaran program sosialisasi dalam misi mencari sukarelawan pasca banjir ke Selangor dan pihak Universiti melihat perkara ini sebagai satu tanggungjawab sosial buat rakyat serta meneruskan perjuangannya dalam memperkasakan aspek kesukarelawanan dalam membantu rakyat yang ditimpa musibah.
Marilah kita sama-sama berdoa agar semua yang terjejas dilindungi Allah SWT danmerakamkan setinggi-tinggi ucapan takziah kepada mereka yang terjejas.
Sementara itu, situasi di negeri lain yang mengalami banjir seperti Negeri Sembilan, Pahang, Melaka dan Kelantan turut menyaksikan pertambahan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS)susulan paras air banjir yang belum surut berikutan hujan berterusan.
Sehingga kelmarin, hampir 200 PPS telah dibuka di enam negeri yang terjejas banjir susulan hujan lebat yang berlaku terutamanya di Selangor dan Pahang.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 573