USM TERIMA MAKLUM BALAS POSITIF MyRA 2019 dan 2020
USM PULAU PINANG, 2 Disember 2021 – Dalam eksesais penilaian universiti penyelidikan melalui instrumen Malaysia Research Assessment (MyRA) bagi tahun 2019 dan 2020 yang dijalankan terhadap Universiti Sains Malaysia (USM) selama dua hari pada 24-25 November 2021, USM mendapat maklum balas serta laporan yang positif dari keseluruhan panel penilai.
Barisan panel penilai yang diketuai Dato’ Profesor Emeritus Dr. Md Ikram Mohd Said, melaporkan pada majlis penutupan, secara keseluruhannya prestasi USM berada pada tahap yang baik.
Naib Canselor USM, Professor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, ulasan yang dibuat panel penilai menunjukkan sebahagian besar daripada pencapaian yang diperolehi USM adalah signifikan.
Katanya, walau bagaimanapun beliau berharap penambahbaikan akan terus dilakukan bagi memperolehi penilaian yang lebih baik untuk tahun seterusnya.
“Secara peribadi saya optimis, dan penambahbaikan akan terus dibuat, sekaligus akan membolehkan USM menerima dana yang sangat diperlukan untuk menjalankan penyelidikan.
“Sesi MyRA2 pada 2018 yang dijalankan sebelum ini menunjukkan USM menerima 67 markah dan markah lulus adalah 75; untuk sesi penilaian kali ini, USM masih menunggu keputusan rasmi yang akan dikeluarkan kelak,” katanya, dan pada masa yang sama merakamkan penghargaan kepada Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC) yang mengkoordinasi eksesais audit fizikal MyRA ini.
Faisal Rafiq turut berterima kasih kepada semua pasukan penyelidik yang bertungkus lumus dalam menghasilkan penyelidikan-penyelidikan terbaharu dan berimpak tinggi, dan juga Bahagian Penyelidikan dan Inovasi USM yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselornya, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Katanya, USM menerima peruntukan terbesar pernah diterima bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu sebanyak RM178.4 juta.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 555