USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUMPULAN IPPT USM CEMERLANG DI KONVENSYEN KUALITI ICQCC 2021

BERTAM, 3 Disember 2021 – Sekumpulan staf dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah melakar kecemerlangan di 46th International Convention on Quality Control Circles (ICQCC) 2021.

57A1CF47 DDB7 437D B178 D6F7068B1E54

Kumpulan ‘FAST’ (For Advanced Staffing in Technology) IPPT USM telah mencapai keputusan cemerlang dengan memperoleh penganugerahan tertinggi ‘Par Excellence’ (pencapaian markah melebihi 80%) dalam Konvensyen tersebut yang dianjurkan di Novotel & HICC Hyderabad di Telangana, India.

Dianjurkan oleh Quality Circle Forum of India (QCFI) selama empat hari, bermula dari 24 hingga 27 November 2021, ICQCC 2021 berjaya mengumpulkan 904 pasukan dari 13 negara dengan jumlah peserta seramai 5,155 orang.

Kumpulan FAST merupakan satu-satunya kumpulan yang mewakili IPPT dan juga USM dalam pertandingan di peringkat antarabangsa itu, yang diadakan dengan tujuan untuk memberi penghargaan kepada kumpulan mutu kerja.

Anggotanya terdiri daripada seorang fasilitator iaitu Matron Law Kim Sooi dan enam pensyarah perubatan dan jururawat iaitu Dr. Noor Khairiah A. Karim (Ketua Kumpulan), Dr. Hasmah Hussin, SN Norsuraya Hassan, SN Norhaliza Abd Hamid, SN Suraya Hussain dan SN Ahmad Shakry Saidon.

Ia mempersembahkan projek bertajuk ‘Menurunkan Suhu Kulit Kepala Untuk Mengurangkan Rambut Gugur’ dengan mengetengahkan produk topi C-savior.

Topi C-savior berupaya untuk menyejukkan kulit kepala pesakit sebelum, semasa, dan setelah menjalani rawatan kemoterapi untuk mengurangkan kesan sampingan rawatan tersebut iaitu keguguran rambut.

Inovasi ini banyak membantu pesakit kanser di IPPT, USM yang merupakan kumpulan pesakit tertinggi yang menerima rawatan di institusi ini.

Pelaksanaan projek ini telah memberi impak ketara dan positif dari segi emosi dan fizikal kepada pesakit kanser, meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan kos dalam menangani kekangan sumber kewangan dan sumber manusia, memanfaatkan keupayaan teknologi terkini serta memperkenalkan pendekatan penyampaian perawatan baharu kepada kakitangan dan pesakit.

Dengan kejayaan pelaksanaan projek ini, ianya juga berjaya mendukung usaha untuk mencapai kelestarian alam sekitar global dengan menggunakan bahan kitar semula dalam penghasilan topi C-savior ini.

Sebelum ini, kumpulan FAST telah berjaya memperoleh pencapaian tempat ketiga Anugerah Bidang Inovasi Penyampaian Perkhidmatan dalam Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif anjuran Institut Pengurusan Kualiti di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diadakan pada 25 dan 26 Oktober 2021 lalu.

Dari segi penyertaan di ICQCC 2021, perwakilan Malaysia menduduki tempat ke-3 tertinggi selepas negara tuan rumah, India (629 pasukan) dan China (111 pasukan).

Sebanyak 81 pasukan daripada 50 organisasi dengan 566 peserta mewakili Malaysia dalam konvensyen ini, yang diadakan secara maya kerana tidak dapat dilangsungkan secara bersemuka akibat daripada pandemik COVID-19.

India telah menganjurkan ICQCC buat kali keempat, dan konvensyen pada tahun ini bertemakan ‘Quality Concepts Facilitating Societal and Economic Turnaround’ adalah bersesuaian dengan usaha yang dilakukan untuk memulih impak ke atas masyarakat, industri, ekonomi dan negara disebabkan pandemik global tersebut.

Di konvensyen ini, setiap kumpulan dari Malaysia telah berjaya mempersembahkan projek peningkatan kualiti sebagai perkongsian untuk dibawa pulang ke organisasi masing-masing dengan anggaran jumlah penjimatan kos keseluruhan sebanyak RM250 juta.

Malaysia meneruskan kejayaannya dalam ICQCC 2021 dengan memperoleh keputusan yang memberangsangkan yang menyaksikan 75 pasukan termasuk FAST telah berjaya memenangi Anugerah ‘Par Excellence’ dan 6 pasukan memperoleh Anugerah ‘Excellent’.

D3D4C3E4 BA8A 42C6 8BAE 6ED41C59B950

Syabas diucapkan kepada kumpulan FAST! Semoga budaya inovasi akan terus berkembang ke seluruh IPPT dan USM.

Keputusan penuh perwakilan Malaysia boleh dilihat di laman Facebook MPC - https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=266156822202434&id=100064243556944

Teks: Mahirah Mahyidin/Dr. Noor Khairiah A. Karim/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 518

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024