PASUKAN NC USM TUNDUKKAN PASUKAN DATUK BANDAR MBPP 3-2
GEORGETOWN, PULAU PINANG, 27 November 2021– Pasukan Bola Sepak USM LEGENDS telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, dengan berkesudahan pasukan USM menewaskan pasukan lawan 3-2 semalam.
Lebih menarik lagi apabila perlawanan bola sepak tersebut dihadiri oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, yang beraksi di atas padang dan juga Datuk Bandar MBPP, Dato' Ar. Yew Tung Seang.
USM LEGENDS memperolehi gol pertama pada minit ke-22 menerusi Faisal Rafiq sendiri, yang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.
Lantaran itu, pasukan MBPP terus melakukan asakan demi asakan, dan Mohd Rizal Ahmad berjaya menembusi kubu pelawat menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-36 untuk mengikat kedudukan ketika itu 1-1.
Ketika keghairahan tuan rumah melakukan asakan bertali arus, Rizal Rodin sekali lagi dapat menjaringkan gol kedua bagi pasukan USM LEGENDS pada minit ke-43.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, dan aksi tangkas membuahkan hasil, yang mana gawang pihak lawan dibolosi dengan sepakan cantik Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim menjaringkan gol ketiga pada minit ke-58, mengekalkan kelebihan jaringan 3-1.
Dalam babak kedua, pasukan MBPP terus membuat serangan demi serangan ke kubu gawang pasukan lawan, dan akhirnya membuahkan hasil apabila Megat Safuan membuat jaringan pada minit ke-89, menjadikan kedudukan 3-2 sehingga wisel penamat.
Misi perlawanan bola sepak persahabatan di antara MBPP dan USM ini bertujuan untuk mengeratkan lagi jalinan silaturrahim kedua-dua pihak, dan diharapkan kegiatan sukan dan riadah sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
Teks: Mahirah Mahyidin/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 689