EMPAT PELAJAR PPSK TERIMA ANUGERAH CEMERLANG AKADEMIK ISP
USM PULAU PINANG, 5 Disember 2021 – Empat pelajar Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) dari pelbagai bidang pengkhususan kajihayat menerima Anugerah The Incorporated Society Of Planters (ISP) Academic Excellence Award 2021 baru-baru ini, dalam satu majlis yang dilangsungkan di kampus induk USM, di sini.
Pada majlis yang diadakan secara sederhana pada 12 November yang lalu selaras dengan amalan norma baharu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, pelajar-pelajar cemerlang yang dipilih sebagai penerima anugerah ISP itu menerima cek bernilai RM2,000 setiap seorang dan Sijil Anugerah Kecemerlangan Akademik, serta plak tajaan sepenuhnya ISP, yang disampaikan oleh Pengerusi ISP, Datuk Haji Daud Amatzin.
Menurut penerima anugerah, Lee Chia Qing, pelajar Sarjana Muda Sains Gunaan (Biologi) (Agrobiologi) yang menemui kaedah mikropropagasi tanaman strawberi, penyebaran strawberi secara konvensional memerlukan masa yang panjang,sebaliknya keperluan tenaga kerja mikropropagasi melalui teknik kultur tisu dapat menghasilkan tanaman stok yang banyak dan bebas daripada penyakit dalam tempoh yang pendek.
“Saya berasa amat gembira kerana usaha saya telah diperakui, dan akan memberi insentif untuk saya terus menyumbang pengetahuan saya dalam bidang pertanian,” ujarnya ketika ditemui di majlis tersebut.
Seterusnya, Syed Amir Hamzah Syed Zainal Abidin dengan hasil kajiannya mengenai kesan racun serangga komersial terhadap kumbang Rove atau dikenali sebagai Charlie, berterima kasih kepada ISP kerana memilih dia sebagai penerima anugerah ini.
“Kajian yang melibatkan Charlie sangat mencabar terutama dalam mengumpul sampel, kerana Charlie merupakan serangga yang bermusim dan ia akan hanya banyak didapati pada musim menuai padi,” katanya yang berpengkhususan Entomologi dan Parasitologi.
‘Labellum dan Gynostemium Makro dan Mikromorfologi dalam Spathoglottis Blume (Orchidaceae)’ merupakan tajuk kajian penyelidikan yang dibuat oleh penerima ketiga anugerah, Umi Natra Shaharudin, pelajar Sarjana Muda Sains Gunaan (Biologi) (Botani) yang berasal dari Johor.
“Saya berasa amat gembira dan bersyukur kerana tidak menyangka akan menerima anugerah ISP ini; terima kasih pada pihak ISP atas pemilihan ini, dan yang pastinya ia dapat membakar semangat saya untuk terus menjalankan penyelidikan serta menuntut ilmu.
“Oleh sebab pandemik COVID-19, sampel bunga telah diperolehi daripada beberapa pengumpul dan tapak semaian. Pemerhatian ke atas bunga terutamanya dalam labellum dan gynostemium dilakukan untuk meneliti perbezaan makro dan mikromorfologi serta menggunakan ciri-ciri untuk membezakan spesies,” jelas Umi mengenai projeknya.
Bagi pelajar Entomologi dan Parasitologi, Tan Xue Li pula, anugerah ini amat bermakna baginya kerana dapat mendorongnya untuk lebih gigih berusaha dan memberikan sumbangan dalam bidang entomologi dan parasitologi.
“Saya juga lebih yakin untuk menggunakan pengetahuan saya demi manfaat masyarakat dalam bidang kajian kegemaran saya ini,” katanya.
Kajian penyelidikan yang dibuat oleh Xue Li adalah mengenai kesesuaian kenaf sebagai bahan mentah untuk lingkaran nyamuk. Secara amnya, lingkaran nyamuk terdiri daripada perawis aktif (pyrethrin) dan perawis lengai.
Tambahnya lagi, memandangkan kenaf merupakan bahan berketumpatan rendah dengan kekerasan dan kekukuhan yang baik, lingkaran nyamuk yang dibuat daripada kenaf adalah lebih mesra alam berbanding dengan lingkungan nyamuk komersial.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah menyambut baik inisiatif ahli jawatankuasa tabung pendidikan ISP yang sudi meluluskan peruntukan dana untuk menghargai penerima-penerima anugerah pelajar cemerlang ISP pada tahun 2021 ini.
“Ia pastinya dapat menyemarakkan lagi semangat dan motivasi pelajar untuk mencapai kejayaan bagi pihak diri sendiri dan juga Pusat Pengajian Sains Kajihayat.
“Semoga program anugerah ISP ini dapat diteruskan dan melahirkan pelajar yang cemerlang, serta hubungan kerjasama antara Pusat Pengajian Sains Kajihayat dan The Incorporated Society Of Planters (ISP) menjadi lebih erat dan berpanjangan,” ujar Amirul.
Pengerusi ISP, Datuk Haji Daud Amatzin pula berkongsi pengalaman beliau dalam ucapannya, dengan matlamat untuk memberi inspirasi kepada generasi akan datang selain meraikan kejayaan pelajar-pelajar berkenaan.
Turut hadir sama Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPSK, Profesor Madya Dr. Asyraf Mansor; dan Timbalan Dekan Penyelidikan, Pascasiswazah dan Libatsama Industri-Komuniti, Profesor Dr. Latiffah Zakaria.
Teks: Mahirah Mahyidin/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 724