USM PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN MELAKA
Ayer Keroh, Melaka, 21 Jun, Kerajaan Negeri Melaka dan Universiti Sains Malaysia (USM) berusaha untuk mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dalam beberapa bidang utama.
Hal ini tercapai hasil perbincangan yang diadakan dalam kunjungan hormat rasmi Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman kepada Ketua Menteri Melaka, YAB Dato' Wira Ir. Idris Haron di Pejabat Ketua Menteri Melaka, Kompleks Seri Negeri di sini pagi ini. Idris dilantik sebagai Ketua Menteri setelah berjaya membentuk kejayaan negeri dalam Pilihanraya Umum Ke-13 Mei lalu.
Dalam perbincangan dalam suasana penuh mesra kira-kira satu jam itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani persefahaman bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang-bidang berkaitan dalam masa yang terdekat.
"Antaranya kami berhasrat merealisasikan segera kerjasama dalam teknologi hijau, penyelidikan marin, latihan profesional dalm p3elbagai bidang untuk peningkatan produktiviti dan transformasi serta pergigian dan perubatan terutamanya bagi meneruskan usaha melakukan pembedahan bibir sumbing,"kata Naib Canselor.
Kunjungan hormat rasmi ini berjaya memperkukuhkan hubungan yang terjalin sebelum ini yang seperti kata Idris, "membangunkan fasa seterusnya untuk memastikan hubungan sedia ada dapat memberi faedah dalam pembangunan negeri Melaka dengan memanfaatkan kepakaran akademik dan jenama USM." TEKS & FOTO: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1299