TERAP SEMANGAT KESUKANAN YANG TINGGI
PULAU PINANG, 20 JUN 2013 – Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM), Siti Zubaidah A. Hamid mengingatkan staf yang terpilih mewakili Universiti pada acara sukan sentiasa menjaga adab, disiplin dan bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi demi Universiti tercinta.
Berucap ketika merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Kontingen USM sempena Sukan Badan Bekanun (SUKANUN) ke-8, Zubaidah berharap atlet terlibat dapat berlatih bersungguh-sungguh dan mampu membawa pulang pingat seperti yang diharapkan.
“USM sentiasa menitikberatkan penglibatan staf di semua peringkat menceburi aktiviti sukan, atas sebab itu kita memilih yang terbaik di antara terbaik bagi menggalas amanah universiti bertanding di mana-mana acara sukan berprestij,” katanya yang mewakili Naib Canselor pada majlis tersebut.
Turut hadir adalah Dr. Adi Firdaus Tan, Yang Di-Pertua Kelab Sukan Staf merangkap Ketua Kontingen SUKANUN ke -8 dan Muhammad Mohd Anif, Pengarah Pusat Sukan USM merangkap Setiausaha SUKANUN ke-8.
Tambah beliau, walaupun universiti kini berhadapan dengan kekangan kewangan, ini tidak menghalang universiti untuk menghantar kontingen yang akan menyertai 9 daripada 20 acara yang dipertandingkan.
“9 acara ini merupakan antara acara yang diyakini mampu membawa kemenangan buat kita, kerana beberapa saringan telah dilaksanakan bagi memilih staf yang benar-benar layak menyertai acara tersebut”
SUKANUN ke-8 kali ini bakal dilangsungkan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai tuan rumah dari 23 Jun – 2 Julai 2013.
USM bakal menyertai acara Bola Sepak Senior dan Veteran, Olahraga, Sepak Takraw Lelaki, Futsal Lelaki, Ping Pong Campuran, Hoki Lelaki, Tenpin Bowling, Basikal Bukit dan Memancing. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1568