YDP MPPUSM 2021/22 CT FAIZAH ABDUL RAHMAN BERTEKAD TERUSKAN KECEMERLANGAN KEPIMPINAN PELAJAR USM
USM PULAU PINANG, 13 Disember 2021 – Pelajar Komunikasi Pemujukan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), CT Faizah Abdul Rahman, 22, diangkat sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) setelah meraih undi terbanyak Konstituensi Umum dalam Pemilihan MPPUSM 2021/22.
Sebagai rekod CT Faizah adalah Yang Dipertua MPPUSM yang kedua dari dalam kalangan wanita. Yang Dipertua MPPUSM pertama dari dalam kalangan wanita ialah Fatimah Sham Hamid yang menjadi Yang Dipertua MPPUSM pada era 70-an.
CT Faizah dipilih sebulat suara dalam pemilihan yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dr. Aldrin Abdullah malam ini.
Manakala pelajar PP Sains Kemasyarakatan, Yusoff Tashfin bin Musa, pelajar PP Kejuruteraan Kimia, Farah Zahidah Abdul Halim dan pelajar PP Sains Perubatan Harith Marwan Ahmad Nazan dipilih sebagai Naib Yang Dipertua.
Pelajar PP Sains Komputer Dania Ridzlon pula dipilih sebagai Setiausaha Agong MPPUSM.
Pelajar PP Sains Komputer, Zakuan Nafis Mohd Yahaya dipilih sebagai Bendahari.
CT Faizah menzahirkan rasa syukurnya kerana dipilih sebagai YDP MPPUSM dan berharap dapat terus menjalankan tugas dengan lebih baik sebagai satu pasukan.
"Kami akan terus melakukan penambahbaikan dan meneruskan kecemerlangan kepimpinan pelajar bersama-sama universiti,"kata CT Faizah.
Pemilihan MPPUSM Sidang Akademik 2021/2022 telah diadakan secara dalam talian (e-Pilih) pada hari Isnin yang lalu (6 Disember) menyaksikan 45 kerusi dipertandingkan iaitu 10 kerusi Konstituensi Umum (termasuk Kampus USM-KLE India) dan 35 kerusi untuk Konstituensi Pusat-pusat Pengajian.
Teks & Foto: Mohamad Abdullah (Timbalan Pendaftar Kanan, BHEPA)
- Created on .
- Hits: 1282