USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IMC - KEJAYAAN USM TAWAR PENGAJIAN DI KUALA LUMPUR

 

usmimc1

KUALA LUMPUR, 20 Jun - Kejayaan penawaran Program Sarjana Komunikasi (Komunikasi Pemasaran Bersepadu) atau IMC menjadi satu lagi kejayaan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam melebarkan jaringan jenamanya di luar negeri  Pulau Pinang.

"Kita akan berusaha untuk melengkapkan prasarana yang ada di Kuala Kumpur terutamanya di Wisma Sejarah yang menempatkan penawaran IMC pada masa ini dan akan diteruskan untuk beberapa tahun yang akan datang serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif termasuk mendapatkan bahan rujukan, internet dan tempat untuk perbincangan dan sebagainya," kata Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman.

Menjawab soalan-soalan dari pelajar dalam majlis makan malam yang diadakan di sini, Omar menyeru para pelajar untuk meneruskan hubungan akrab yang ada walaupun setelah tamat pengajian malah mengajak lebih ramai rakan-rakan tempatan dan antarabangsa mengikuti pengajian di sini.

"USM akan terus mengukuhkan kedudukannya di Kuala Lumpur menambahkan bilik kuliah dan lebih ramai pelajar, malah buat permulaan akan menjadikan Wisma Sejarah sebagai pejabat "USM Post-graduate Sattelite" di Kuala Lumpur dan mereka yang tamat pengajian akan terus membantu USM dalam membawa jenama USM ke hadapan," jelas Naib Canselor.

Seramai 7 orang dijangka akan menjadi kumpulan pertama yang keluar dari program IMC yang bakal menerima ijazah dalam Upacara Konvokesyen USM pada bulan September ini.

"Kita akan kekalkan pengambilan sekitar 30 orang calon sahaja untuk program ini bagi memastikan dapat mempertahan malah memperkukuhkan kualiti dan menjadikannya sentiasa kompetitif," kata Omar.

Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Profesor Madya Dr. Jamilah Ahmad berkata beliau berbangga dengan pencapaian IMC malah gembira menjadi sebahagian daripada tenaga pengajarnya.

"Saya bukan sekadar berbangga sebagai Dekan, tetapi kerana dapat berkongsi ilmu pengetahuan secara dua hala dengan para pelajar yang mempunyai pengalaman kerja yang luas yang sama-sama menang, seronok dalam pengajaran dan pada masa yang sama  belajar dari pengalaman pelajar," kata Jamilah. 

Sementara seorang pelajar IMC mencadangkan agar USM melibatkan pihak industri dan pemain utama dalam industri komunikasi dan pemasaran untuk mendapatkan input terutamanya bagi kemungkinan meningkatkan kualiti silibus pengajian.

Pelajar turut mencadangkan agar Universiti membantu para pelajar IMC menubuhkan sebuah koperasi, bukan sahaja untuk menjana pendapatan tetapi juga mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dan menggabungkan semua kepakaran yang ada.

Seramai 50 orang pelajar menghadiri perjumpaan yang diadakan bersama-sama Dekan dan para pengajar.  Teks & foto: MOHAMAD ABDULLAH

  • Created on .
  • Hits: 1824

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024