PPDK KAMPUS INDUK LEBIH CERIA DAN SELESA DI BANGUNAN BAHARU
USM PULAU PINANG, 4 Disember 2021 – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) dengan kerjasama Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah mengadakan aktiviti keceriaan kelas di bangunan PPDK yang baharu bagi keselesaan dan pembelajaran para pelajar.
Aktiviti yang dijalankan adalah mengecat dinding kelas serta melekat bahan-bahan pembelajaran hasil kreativiti menggunakan barangan kitar semula atau lebih sinonim dengan frasa 'Go Green' yang sangat sesuai dengan para pelajar istimewa yang mengikuti kelas di sini.
Menurut Ketua Projek yang juga Penolong Pendaftar PPPJJ, Nurul Farhana Amir Hamzah, program ini adalah salah satu usaha pusat pengajian untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan membantu memberikan senyuman kepada golongan istimewa ini.
"Walaupun usaha ini adalah sangat sedikit, tetapi kami berharap ianya adalah satu usaha permulaan dan akan berterusan dalam menyumbang tenaga bagi membantu satu pertubuhan yang sangat dekat di hati seluruh warga Kampus Induk USM serta dapat memupuk semangat kesukarelawanan dan semangat kerjasama dalam kalangan staf," tambahnya.
Turut hadir adalah Pengerusi PPDK Kampus Induk USM, Dr. Syazwani Drani yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan serta enam orang tenaga pengajar.
Syazwani dan seluruh warga PPDK Kampus Induk USM menzahirkan rasa syukur atas bantuan dan tenaga kesemua 10 staf pentadbiran di PPPJJ yang sangat kreatif serta dapat memperkenalkan kewujudan PPDK Kampus Induk kepada warga USM.
"Kami tidak sabar untuk melihat reaksi para pelajar apabila mereka memasuki kelas ini nanti dan berharap ianya menjadi satu motivasi untuk para pelajar supaya lebih memberikan tumpuan dalam pembelajaran setelah berpindah ke sini sejak 15 November lalu.
Untuk rekod, PPDK USM mempunyai lebih 25 orang pelajar istimewa yang mempunyai pelbagai limitasi untuk pembelajaran secara normal. Di sini, mereka diberikan perhatian yang lebih khusus oleh tenaga pengajar di samping membantu untuk mereka berdikari dalam kehidupan seharian.
USM adalah universiti yang pertama di Malaysia yang mewujudkan PPDK di dalam kampus universiti yang ditubuhkan sejak tahun 2014.
Impak dari usaha tersebut, kerajaan telah meluluskan peruntukan kepada semua universiti di Malaysia bagi menubuhkan PPDK di universiti masing-masing.
USM telah menjadi model dan universiti contoh kepada penubuhan PPDK di setiap universiti di seluruh Malaysia.
Teks: Nor Rafizah Md Zain, Penolong Pendaftar Kanan PPPJJ/Foto: Sumbangan Nurul Farhana Amir Hamzah, Penolong Pendaftar & Khairul Nisa' Baharun, Pegawai Sains PPPJJ
- Created on .
- Hits: 1134