PEMILIHAN MPPUSM 2021/22 - CT FAIZAH ABDUL RAHMAN RAIH UNDI TERBANYAK
USM PULAU PINANG, 6 Disember 2021 – Pelajar Komunikasi Pemujukan, Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), CT Faizah Abdul Rahman raih undi terbanyak Konstituensi Umum Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUSM) Sidang Akademik 2021/2022 hari ini.
CT Faizah mendapat 4,023 undi manakala pelajar PP Sains Komputer, Zakuan Nafis Mohd Yahaya mendapat 3,972.
Hal ini diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dr. Aldrin Abdullah yang disiarkan secara langsung melalui live FB BHEPA dan Jawatankuasa Pemilihan MPPUSM.
Pemenang lain untuk Konstituensi Umum ialah pelajar PP Sains Komputer, Dania Ridzlon mendapat 3,901 undi; pelajar PP Sains Kemasyarakatan, Mohamad Yusof Tashfin Musa mendapat 3,665 undi; pelajar PP Komunikasi, Rayane Mok Roc Tsen mendapat 3,512 undi; dan pelajar PP Komunikasi, Muhammad Ajri Roslan mendapat 3,380 undi.
Keseluruhannya 38.26% pelajar atau 5,576 orang membuat pemilihan yang dilaksanakan pertama kalinya sepenuhnya secara dalam talian melalui Sistem e-Pilih.
Terdapat dua konstituensi perlu dibuat pemilihan semula iaitu Pusat Pengajian Pengurusan dan Institut Pengajian Siswazah (IPS) Kampus Kesihatan apabila tiada calon yang bertanding.
Antara yang menang tanpa bertanding ialah mantan MPPUSM 2019/20, 2020/21 iaitu Amir Asyraf Mohd Sabri, Ahmad Naim Mohd Salleh dan Syed Aidil Adha Zain untuk Konstituensi IPS.
Untuk kali ketiga, pemilihan MPPUSM dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilih yang dianggotai sepenuhnya oleh pelajar.
Sebanyak 45 kerusi dipertandingkan iaitu 10 kerusi Konstituensi Umum (termasuk Kampus USM-KLE India) dan 35 kerusi untuk Konstituensi Pusat-pusat Pengajian.
Seksyen 70 Perlembagaan Universiti Sains Malaysia (P.U.(A) 220) memerlukan pelajar membuat pemilihan kepimpinan baharu MPPUSM yang tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Teks: Mohamad Abdullah (Timbalan Pendaftar Kanan, BHEPA)
- Created on .
- Hits: 735