131 PELATIH SUKSIS USM DIRAIKAN DALAM MAJLIS TAMAT LATIHAN
Majlis berlangsung di kampus induk USM dengan penuh istiadat kepolisan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
USM PULAU PINANG, 30 November 2021 – Seramai 131 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa dan Siswi (Kor SUKSIS) Universiti Sains Malaysia (USM) yang terdiri daripada 67 siswa dan 64 siswi telah berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang dan diraikan dalam upacara Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Tamat Latihan Pegawai Kor SUKSIS.
Daripada 131 pelatih ini, 56 penerima merupakan dari Skuad 2017 dan 62 penerima lagi dari Skuad 2018 yang menerima sijil pelantikan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Siswa Siswi, disampaikan oleh Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Komisioner Polis Dato’ Mohd Suhaily Mohd Zain.
Berucap dalam majlis tersebut, Mohd Suhaily berharap agar semua pelatih mampu menjadi insan yang cemerlang dari semua aspek dan pemimpin yang mempunyai pengetahuan kepolisan, berketerampilan diri yang baik dan berkemampuan untuk menempuh segala cabaran mendatang.
“Saya juga berharap anda semua dapat mengamalkan disiplin yang tinggi, berintegriti, mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Raja dan negara, mematuhi undang-undang, dan sentiasa berbakti dan melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara,” katanya lagi.
Sementara itu, dengan USM selaku penganjur bersama majlis, Naib Canselor, Kolonel Kehormat Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua pelatih yang mampu mengharungi cabaran dalam tempoh 3 tahun, yang mana mereka perlu membahagikan masa antara latihan dan pembelajaran.
Faisal Rafiq turut mengingatkan kesemua pelatih yang ditauliahkan itu untuk sentiasa bersyukur dan ingat akan sokongan, doa dan restu ibu bapa mereka, dan juga pengorbanan para pegawai dan jurulatih Kor Suksis USM yang berjaya melatih dan membentuk mereka menjadi insan yang berdisiplin dan berguna.
Pada majlis berkenaan juga, pelatih-pelatih Terbaik Akademik, Latihan Luar dan Keseluruhan Terbaik Skuad 2017 dan Skuad 2018 diumumkan, sekaligus menerima hadiah daripada Ketua Polis Negeri Pulau Pinang.
Inspektor Kor SUKSIS Muhamad Zahin Mohd Jizad yang merupakan Pelatih Terbaik Keseluruhan Skuad 2017,ketika ditemui selepas tamatnya majlis berkata, dengan menyertai aktiviti badan beruniform seperti Kor SUKSIS di universiti, ianya sedikit pun tidak mengganggu pembelajaran beliau.
“Kita perlu pandai membahagikan masa antara belajar dan menyertai aktiviti ko-kurikulum, serta mempunyai disiplin, semangat dan kemahuan yang tinggi untuk melakukan sesuatu yang terbaik buat diri sendiri,” katanya.
Apabila ditanya apa yang mendorongnya untuk menyertai latihan Kor SUKSIS, Muhamad Zahin berkata, “Kedua-dua orang kakak saya juga menyertai latihan yang sama di sebuah universiti awam, dan dari situ saya mempunyai keinginan untuk menyertai latihan ini kerana bukan mudah untuk mendapat peluang menyertai latihan yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).”
Bagi Inspektor Kor SUKSIS Hasriani Lampri, dia berasa amat gembira kerana terpilih sebagai Pelatih Terbaik Akademik Skuad 2018 dan meletakkan pelajaran sebagai matlamat utama dia memasuki universiti.
Pelatih Terbaik Keseluruhan Skuad 2018 pula dianugerahkan kepada Inspektor Kor SUKSIS Abdul Syamir Abdul Razak dan menurutnya, dia menjadikan Kor SUKSIS di universiti sebagai batu loncatan untuk menyertai pasukan polis yang sebenar selepas menamatkan pengajian kelak.
Turut serta ke majlis ini adalah Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Polis Azhan Abdul Halim; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Polis Mohd Nasri Omar; Komandan Kor SUKSIS USM, Asisten Komisioner Polis Kehormat Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM; Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Asisten Komisioner Polis Tan Cheng San; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Polis Soffian Santong; Timbalan-timbalan Naib Canselor USM, pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), pegawai-pegawai kehormat Kor SUKSIS dan pegawai-pegawai USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi & Tan Ewe Hoe / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1522