USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MyDIGITAL: MEMACU TRANSFORMASI PENGAJIAN TINGGI NEGARA DALAM EKOSISTEM DIGITAL MASA HADAPAN

USM PULAU PINANG, 23 November 2021 – Bagi merealisasikan pelaksanaan MyDIGITAL yang merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Transformasi Insan (PTI) telah menganjurkan kursus Webinar Transformasi Digital: Kepimpinan dalam Mengurus Perubahan, khas untuk warga kampus dan masyarakat luar kampus yang berminat.

819E6BBF E635 463B 9C9C 705118B056E5

Kursus tersebut dijalankan melalui pautan Webex dan disiarkan secara langsung di Facebook PTI USM dengan menjemput panel hebat dan terkemuka untuk bersama membentangkan tajuk yang berkaitan mengikut slot-slot yang ditetapkan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan merasmikan program tersebut dan beliau mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana melibatkan juga Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di Malaysia.

Beliau berkata, “Peranan teknologi digital telah memberi impak lebih-lebih lagi sejak berlakunya pandemik COVID-19; ini memberi cabaran getir kepada semua untuk meneruskan kehidupan norma baharu, dan tidak terkecuali ekosistem universiti.

“Penganjuran webinar ini adalah tepat selaras dengan pelancaran Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDIGITAL) tahun 2020.

“Malah Teras 1 MyDIGITAL: Memacu Transformasi Sektor Awam berkehendakkan kita mengurus perubahan untuk beralih kepada pendigitalan secara berkesan bagi mencapai hasrat meningkatkan kecekapan proses kerja dan sasaran 80% perkhidmatan dalam talian pada tahun 2025,” kata Faisal Rafiq.

Beliau berharap agar webinar ini akan menjadi titik permulaan ataupun 'turning point' dalam usaha menjayakan agenda transformasi digital.

3C42F57A 6C61 4E1C 9244 9DD544474D4C

Pembentangan slot pertama disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Dr. Mohd Bakhari Ismail yang bertajuk MyDIGITAL: Memacu Transformasi Digital Sektor Awam Melalui Pengurusan Perubahan, yang mana membincangkan tentang halatuju strategik negara; sepintas lalu mengenai MyDIGITAL, MAMPU dan Transformasi Pendigitalan; pengurusan perubahan sektor awam; serta kepimpinan dan pengurusan perubahan.

Dalam pembentangan itu, Mohd Bakhari memberi fokus utama kepada topik teras strategik dan inisiatif peringkat nasional, iaitu teras pertama dalam memacu transformasi digital sektor awam bersesuaian dengan tema webinar.

Pada pembentangan slot kedua bertajuk ‘A Visionary Leader in the Digital Age’ oleh Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said, beliau membincangkan mengenai peranan universiti dalam menyahut peranan digital dari aspek cabaran dan peluang dalam norma baharu akibat daripada pandemik COVID-19.

“Untuk merealisasikan sasaran era digital, kita memerlukan pemimpin yang berwawasan yang proaktif terhadap perubahan teknologi, dan memandangkan kita berada di universiti, penggunaan sistem digital adalah penting dalam ekosistem pembelajaran baharu dan transformasi digital diperlukan di peringkat universiti untuk mengasah bakat baharu serta menghasilkan pelajar berimpak tinggi dalam sesebuah organisasi,” kata Hassan.

Sesi ketiga pula merupakan pembentangan oleh mantan Naib Canselor ke-6 USM, yang kini merupakan Naib Canselor DRB-Hicom University of Automotive Malaysia, Profesor Dato’ Sr. Dr. Omar Osman dengan topik pembentangan ‘Strategic Perspective in the New Norms’ menyentuh dan mendalami aspek pendigitalan yang melibatkan norma baharu, perspektif pengajian tinggi, pandangan dari sudut industri, perspektif strategik dan kepimpinan digital.

Jelas Omar, topik yang dibicarakan merangkumi tiga perkara iaitu pertama, kita sepatutnya sudah berada di hadapan dalam transformasi dan bersedia untuk berubah kepada ekosistem endemik yang akan datang. Perkara kedua ialah kita perlu membina kepimpinan digital dan ketiga, kita perlu mempunyai penilaian yang lebih baik tentang tahap pendigitalan dalam organisasi kita dari segi kesediaan digital, kematangan dan ketangkasan supaya kita boleh berada di tahap daya saing yang lebih baik daripada pesaing kita yang lain.

Slot terakhir dibentangkan oleh Naib Presiden Kejuruteraan, Skymind CNS, Universiti Automotif Malaysia, Profesor Adjung Dr. Muhammad Imran Sarwar yang bertajuk ‘Role of Big Data Analytics and Artificial Intelligence in the Digital Transformation for Sustainable Tomorrow’ yang memfokuskan kepada Revolusi Industri 4.0 (4IR) yang melibatkan data serta kepentingan 4IR yang bergantung kepada kecerdasan buatan (artificial intelligence/AI) dan sistem super autonomi dalam setiap sektor.

Siaran ulangan webinar ini boleh diikuti melalui Facebook: Pusat Transformasi Insan USM di pautan https://www.facebook.com/ptiusm .

Turut menyertai webinar ini adalah Timbalan-timbalan Naib Canselor USM; Pendaftar USM Dr. Musa Haji Ali; Pengarah PTI USM, Roslan Ismail; ketua-ketua jabatan USM serta pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 881

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024