USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEGAWAI KONSULAT JENERAL JEPUN TINJAU PROJEK PERTANIAN KOMERSIL OKU INTELEK

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 November 2021 – Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima kunjungan hormat Naib Konsul, Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Teramoto Saki, bagi menilai permohonan bantuan geran untuk menambahbaik projek pertanian komersil OKU Intelek.

Keprihatinan masyarakat sedunia mengenai OKU bermula sejak tahun 70-an melalui Deklarasi Bangsa-bangsa Bersatu tentang Hak Asasi Orang Terencat Akal (1971) dan Deklarasi Bangsa-bangsa Bersatu tentang Hak Asasi Orang Kurang Upaya (1975).

SAVE 20211124 194623

 

Menyedari hakikat ini, USM melalui PPSK mewujudkan Unit Transformasi OKU bertujuan menyediakan model perkhidmatan bagi memperkasa dan menukar status OKU daripada liabiliti kepada produktiviti selain menjadikan OKU sebagai sumber manusia kepada negara.

Dalam lawatan hampir dua jam itu, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail mengalu-alukan tinjauan tersebut bagi menjalin kerjasama yang efektif di antara dua buah negara dalam konteks pendidikan tinggi untuk manfaat bersama selain turut mempromosikan projek-projek yang mengetengahkan bakat OKU.

“Pelbagai projek telah dihasilkan untuk membantu golongan OKU intelek seperti Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek (VT@USM), Projek Modifikasi Khas Kerusi Roda, Pusat Sehenti OKU USM-MAIK, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Projek Pertanian Komersil OKU Intelek dan banyak lagi.

“Projek-projek ini dibangunkan bagi memberi peluang latihan pekerjaan kepada golongan OKU selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka untuk menjana pendapatan sendiri sekaligus memberi persepsi baharu kepada keluarga dan masyarakat mengenai potensi OKU dalam bidang pekerjaan,” ujarnya ketika ditemui dalam sesi taklimat lawatan tersebut.

SAVE 20211124 194607

Tambah Shaiful, projek pertanian komersil yang diusahakan OKU intelek di PDK Kubang Kerian, Kampus Kesihatan USM menggunakan konsep bengkel terlindung dalam bentuk komersil bagi menjana pendapatan.

“Bengkel terlindung adalah salah satu kaedah latihan pekerjaan yang memberi kerja sesuai dengan kemampuan OKU mengikut kebolehan setiap pelatih OKU intelek.

“Selain itu, projek ini juga membekal dan menjual tanaman hiasan serta anak benih pokok kepada komuniti setempat dan pusat nurseri berhampiran di samping menghasil dan membekalkan produk-produk pertanian seperti set hidroponik, baja tanaman, tanah campuran dan lain-lain,” jelasnya lagi.

SAVE 20211124 194615

Shaiful turut berharap agar lebih banyak syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang berkemampuan dapat menyuntik dana untuk mengembangkan lagi projek-projek sebegini bagi membantu golongan OKU agar mereka turut berpeluang merasai alam pekerjaan seperti orang lain.

Turut hadir ialah Profesor Wan Rosli Wan Ishak mewakili Dekan PPSK; Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, Syed Yusof Syed Kechik; Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan; Penasihat Unit Transformasi OKU USM, Profesor Madya Dr. Mohamed Saat Ismail dan Ketua Unit Transformasi OKU, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 544

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024